Pemilikan Saham SFI Dipertingkat, Usaha Bantu Belia Dapat Pekerjaan

Oleh SURAIDAH ROSLAN
SIPITANG: Kerajaan Negeri akan cuba meningkatkan pemilikan saham dalam Sabah Forestry Industries Sdn Bhd (SFI) bagi membolehkan anak-anak tempatan di Sipitang dapat dibantu dalam mendapatkan pekerjaan.

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Mohd Shafie Apdal berkata, walaupun pemilikan SFI telah diambil-alih oleh bank, kerajaan akan melihat bagaimana cara untuk meningkatkan penyertaan dalam pengurusan SFI dalam memastikan masa depan anak-anak muda di Sipitang terjamin.

Beliau, yang juga Menteri Kewangan Negeri berkata, buat masa ini kerajaan hanya memiliki dua peratus saham dalam SFI.

“Oleh itu, kita akan melihat bagaimana hala tuju untuk memastikan kita dapat meningkatkan penyertaan di peringkat negeri.

“Kita sudah serah dengan bank dan ia bukan milik Kerajaan Negeri. Bank sudah mengambil-alih segalanya tapi kerajaan masih ada saham dan kita masih boleh mainkan peranan.

“Terlampau banyak sangat pemindahan tangan berlaku dalam SFI.

“Atas sebab itulah kita perlu meneliti secara mendalam hala tuju yang ada…bukan untuk mana-mana pihak tetapi untuk kepentingan masyarakat di peringkat negeri supaya ada jaminan kemampanan dalam industri pada masa akan datang,” katanya ketika diminta mengulas ucapannya mengenai pemilikan saham kerajaan dalam SFI yang hanya tinggal dua peratus sahaja.

Menurutnya, beliau akan memaklumkan dengan lebih lanjut mengenai pemilikan saham itu apabila tiba waktunya.

Terdahulu dalam ucapannya sempena Majlis Pelancaran Program Sipitang Baharu-Bersih & Indah, Mohd Shafie mahu kerajaan campur tangan dalam pentadbiran SFI bagi membolehkan industri papan di Sabah dapat dibangunkan dengan sepenuhnya.

Beliau berkata, isu berkaitan SFI ini perlu penyelesaian jangka panjang.

“Jika tiada kemajuan kita akan kehilangan hak. Walaupun kerajaan mahukan pelaburan namun, kita akan meneliti secara mendalam dan menganalisa setiap pelaburan. Kita bukan mahukan keuntungan semata-mata tapi perlu ada situasi menang-menang antara pelabur dan negeri Sabah,” jelasnya.

Kemudian ditanya tentang permintaan yang mahukan Kerajaan Negeri membantu mengeluarkan tanah diusahakan petani di tanah tinggi yang berada dalam kawasan hutan simpan, Mohd Shafie berkata, beliau akan melihat dan meneliti perkara itu terlebih dahulu.