Pemilik Syarikat Dipenjara & Denda RM24,000 Palsukan Penyata Akaun

KOTA KINABALU: Seorang pemilik syarikat dijatuhi hukuman penjara selama tiga hari dan denda RM24,000 atas kesalahan menggunakan dokumen palsu bagi mendapatkan Tender Perkhidmatan Membekal Makanan Bermasak Ke Asrama Sekolah di Mahkamah Khas Rasuah, di sini hari ini.

Hakim Abu Bakar Manat menjatuhkan hukuman itu terhadap Mohd Fauzi Abd Sahid,33, setelah tertuduh mengaku bersalah terhadap tiga pertuduhan menggunakan dokumen palsu bagi mendapatkan tender perkhidmatan membekal makanan bermasak ke asrama Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Datuk Panglima Abdullah, Semporna bagi tempoh kontrak antara 1 Mac 2017 hingga 28 Februari 2019.

Bagi pertuduhan pertama, tertuduh didakwa menggunakan penyata akaun simpanan Agro Bank Syarikat Pemborong Mohd Fauzi Bersaudara yang palsu bagi bulan Julai 2016 untuk mendapatkan tender perkhidmatan membekal makanan bermasak ke asrama Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Datuk Panglima Abdullah, Semporna pada 24 November 2016 bertempat di Jabatan Pendidikan Negeri Sabah.

Sementara itu, bagi pertuduhan kedua dan ketiga, tertuduh didakwa mengemukakan penyata akaun simpanan Agro Bank atas nama syarikat yang sama bagi bulan Ogos dan September 2016 untuk tujuan yang sama pada tarikh dan tempat yang sama.

Untuk ketiga-tiga kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 465 Kanun yang sama.

Justeru itu, tertuduh dijatuhi hukuman penjara selama sehari dan denda RM8,000 bagi setiap pertuduhan dengan jumlah denda RM24,000. Walau bagaimanapun, hukuman penjara itu berjalan serentak.

Kes dikendalikan Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Norsham Saharom dan tertuduh diwakili peguam daripada Tetuan Nohin & Partners.