Pemilik Premis Dikompaun RM10,000 Jual Penutup Hidung Dan Mulut Melebihi Harga Kawalan

Oleh ARDYHANSAH AMAT
SEMPORNA: Seorang pemilik sebuah premis perniagaan di daerah ini dikompaun sebanyak RM10,000 atas tindakannya menjual penutup hidung dan mulut melebihi harga kawalan.

Ketua Pegawai Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Semporna, Arsanti Abd. Rasid berkata, kompaun itu dikeluarkan menerusi pemeriksaan di premis yang menjual topeng muka di sekitar pekan ini.

“Operasi pemeriksaan khas penjualan topeng muka dilakukan hari ini di permis perniagaan termasuk farmasi dan kedai runcit.

“Ia susulan daripada aduan awam yang diterima melalui sistem e-aduan berhubung tindakan peniaga yang cuba mengaut keuntungan menerusi penjualan topeng muka,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.

Menurut Arsanti, bermula 29 Januari lalu sehingga hari ini, KPDNHEP Semporna melakukan pemeriksaan di tujuh premis yang menjual topeng muka secara runcit .

“Dalam tempoh tersebut, satu kompaun dikenakan tindakan kerana kesalahan menjual topeng muka melebihi harga kawalan ditetapkan mengikut Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011,” katanya.

Tambah Arsanti, pihaknya akan terus melakukan pemantauan secara berterusan bagi memastikan peniaga mematuhi peraturan ditetapkan.

“Pemantauan akan diteruskan di Semporna dan Kunak.

“Pengguna dinasihatkan membuat aduan ke pejabat KPDNHEP sekiranya mempunyai maklumat berkaitan salah laku peniaga termasuk membabitkan penjualan topeng muka,” katanya.