Pemilik Akaun Luar Negara Hasil Pendapatan Di Malaysia Perlu Isytihar Cukai

635

Oleh RODELIO JUNJUN TAUCAN
KOTA KINABALU: Setiap individu yang menerima pendapatan di Malaysia dan telah disalurkan ke dalam akaun bank di luar negara tetapi belum membuat pengisytiharan cukai diingatkan untuk melakukannya.

Ketua Pengarah Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Datuk Seri Sabin Samitah berkata, arahan tersebut telah dikeluarkan melalui emel Program Khas Pengakuan Sukarela (PKPS) yang diedarkan baru-baru ini.

Beliau berkata, PKPS juga terpakai kepada mana-mana individu yang ingin melakukan pengakuan cukai terhadap setiap pendapatan yang diperoleh dari dalam negara.

“Tidak perlu khuatir sekiranya pendapatan yang diterima telah dilaporkan atau dikenakan cukai dan kemudiannya disalurkan ke luar negara, kerana segalanya teratur di sisi undang-undang cukai pendapatan.

“Saya juga ingin memaklumkan (individu) yang telah mengambil bahagian dalam PKPS bagi tahun taksiran 2017 dan tahun-tahun taksiran sebelumnya, pihak LHDN tidak akan menjalankan semakan lanjut terhadap tahun-tahun taksiran yang berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata demikian bagi meredakan kebimbangan orang ramai tentang siasatan LHDN selepas penyebaran emel PKPS baru-baru ini.

Sabin berkata, mana-mana individu berpendapatan tetapi tidak mempunyai akaun di luar negara tidak perlu hadir ke LHDN, namun turut digalakkan menyertai PKPS.

Sementara itu, beliau menegaskan, LHDN tidak akan sesekali melakukan audit atau siasatan sehingga melibatkan serbuan ke rumah pembayar cukai pada waktu tengah malam

“Tindakan yang tegas akan diambil terhadap mana-mana pegawai LHDN yang tidak mematuhi prosedur kerja yang ditetapkan ini serta gagal memberikan perkhidmatan secara profesional dan berintegriti.

“Sekiranya ada, aduan oleh pihak pengadu ini akan diberikan perhatian yang serius,” katanya.

Tambahnya, mana-mana individu yang masih memerlukan penjelasan boleh hadir ke pejabat LHDN berhampiran atau melalui talian 1800885436 dan 603771366 (luar negara) serta emel di alamat pengakuansukareka@hasil.gov.my.