Pemilihan Ketua Kampung Masih Dalam Dilema

1762

LABUAN: Kesemua 27 buah kampung di Labuan masih belum mempunyai ketua kerana senarai mereka yang dipilih untuk mengisi kekosongan jawatan itu sehingga kini masih dalam dilema.

Satu senarai ketua kampung yang kesemuanya terdiri daripada muka baharu yang ada yang berumur bawah 40 tahun serta dua wanita telah tular dan mendapat reaksi berbeza dari kalangan penduduk serta bekas ketua kampung.

Kontrak kesemua 27 ketua kampung yang dilantik ketika Barisan Nasional (BN) berkuasa telah tamat Oktober lalu dan dan ini menimbulkan masalah terutama bagi mereka yang mahu mendapatkan pengesahan ketua kampung bagi dokumen persekolah anak-anak.

Anggota Parlimen Labuan Datuk Rozman Isli (gambar) berkata senarai nama calon dikemukakan oleh pemimpin parti komponen Pakatan Harapan (PH) di Labuan iaitu Amanah, PKR, DAP dan Warisan.

“Penamaan calon berdasarkan nisbah 9:9:8:1 iaitu sembilan oleh Amanah, sembilan oleh PKR, lapan oleh Warisan dan satu oleh DAP,” katanya kepada Bernama.

Pengerusi Perbadanan Labuan, Datuk Seri Amir Hussien ketika dihubungi berkata pihaknya masih dalam proses memuktamadkan senarai calon sebelum keputusan akhir dibuat.