Pemeriksaan Beg Pesakit Dilakukan Di Pusat Kuarantin

Oleh SURAIDAH ROSLAN
KOTA KINABALU: Pengurusan Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) yang terlibat dengan insiden sekumpulan individu minum alkohol mengambil tindakan pencegahan dengan melakukan pemeriksaan mengejut ke atas beg pesakit.

Dengan itu, pemeriksaan akan dilakukan ke atas beg pesakit yang dibawa masuk ke PKRC berkenaan bagi mengelakkan perkara yang sama berulang.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Seri Masidi Manjun berkata, kes individu minum minuman beralkohol di salah sebuah PKRC di Kota Kinabalu ini masih dalam siasatan pihak polis dan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS).

Bagaimanapun, PDRM tidak menolak kemungkinan minuman keras tersebut dibawa sendiri atau dibantu oleh kakitangan yang bertugas.

“JKNS memandang serius terhadap perkara ini dan jika terdapat bukti bahawa kakitangan jabatan turut terlibat, tindakan tatatertib boleh dikenakan selaras dengan Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 [P.U. (A)395],” katanya semasa sidang media perkembangan semasa Covid-19 negeri Sabah, hari ini.

Masidi berkata, siasatan lanjut mengenai kes ini sedang dikendalikan JKNS, sama ada kakitangan mereka atau agensi lain mengambil pendekatan tutup sebelah mata mengenai insiden tersebut.

Katanya, laporan mengenai insiden ini akan dimaklumkan kemudian apabila hasil siasatan telah diperoleh.

Satu rakaman video berdurasi 12 saat memaparkan enam lelaki dan dua wanita minum alkohol di salah sebuah PKRC di Kota Kinabalu.