Pemenang Utama Unduk Ngadau Akan Bantu Jayakan Projek Komuniti

Jo-Anna, tengah, bersama Ahli Jawatankuasa Induk Unduk Ngadau Kaamatan 2019 serta peserta yang hadir semasa Pendaftaran peserta UNK 2019, di sini pada Isnin.

Oleh SURAIDAH ROSLAN

KOTA KINABALU: Pemenang tiga tempat utama Unduk Ngadau Kaamatan (UNK) 2019 akan terlibat dalam projek komuniti selama setahun bagi membantu menyumbang semula kepada daerah yang mereka wakili.

Pengerusi Jawatankuasa Induk Unduk Ngadau Kaamatan 2019 Jo-Anna Sue Henley Rampas berkata, usaha itu diambil bagi menggalakkan wanita muda untuk menyumbangkan sesuatu yang boleh memberi impak kepada komuniti di daerah masing-masing.

Katanya, projek komuniti yang akan dilaksana di kampung terpencil dan mundur itu akan dikendalikan oleh Kementerian Pembangunan Luar Bandar melalui Program Kampung Sejahtera.

”Sekiranya pemenang adalah wakil UNK dari kawasan bandar, kementerian akan berbincang dengan Jawatankuasa Induk bagi memilih kawasan kampung yang akan dijadikan tapak projek komuniti dalam tempoh setahun.

”Selain terlibat dalam projek komuniti, pemenang juga akan bertindak sebagai duta pelancongan; menjalankan khidmat masyarakat, terlibat dalam aktiviti pendidikan dalam kebudayaan serta menjalankan kajian impak berkaitan budaya masyarakat Kadazan, Dusun, Murut dan Rungus (KDMR),” katanya ketika Sidang Media Unduk Ngadau Kaamatan 2019, di sini pada Isnin.

Mengenai pembaharuan yang dilakukan Jawatankuasa Induk pada kali ini, Jo-Anna berkata, penghasilan buku kajian mengenai budaya etnik setempat akan dilakukan pada tahun ini.

Dalam masa yang sama, peserta juga perlu memperkasakan pengetahuan mengenai budaya tradisi di daerah masing-masing dengan melakukan kajian etnik setempat. Selain itu, tahun ini, usaha memperkasa wanita turut diberi penekanan.

Jo-Anna, tengah, bersama Ahli Jawatankuasa Induk Unduk Ngadau Kaamatan 2019 serta peserta yang hadir semasa Pendaftaran peserta UNK 2019, di sini pada Isnin.