Pembunuh Gajah Tidak Sempat Merasa Hasil Jualan Gading

Peter Umbuas (kanan hadapan) bersama Pegawai JHL, Sailan Aris menunjukkan gading gajah pigmi yang ditemui di Felda Umas 4.

Oleh ARDYHANSAH AMAT
KALABAKAN: Cubaan sekumpulan lelaki menikmati habuan lumayan hasil jualan gading gajah Borneo yang mati ditembak minggu lalu, tidak kesampaian, selepas semua mereka berjaya ditahan polis dalam Operasi Khazanah, di Felda Umas, di sini, awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Tawau Asisten Komisioner Peter Umbuas berkata, semua lelaki yang berusia antara 48 hingga 68 itu ditahan secara berasingan di Felda Umas 4 dan kawasan berhampiran selepas mendapat maklumat dari orang ramai.

“Seorang daripadanya adalah warga asing manakala lima lagi warga tempatan dan turut bekerja sebagai peneroka serta penjaga ladang berkenaan.

“Hasil siasatan awal mendapati seorang daripada suspek mengaku menanam sepasang gading gajah berkenaan di kawasan Felda Umas 4, bagi mengelak dirampas pihak berkuasa,” katanya kepada media.

Terdahulu, beliau bersama pegawai Jabatan Hidupan Liar, Sailan Aris, meninjau lokasi gading gajah itu disembunyikan.

“Seorang daripada suspek yang ditahan bertindak menembak gajah berkenaan sebelum seorang lagi rakannya memotong gadingnya.

“Setakat ini, empat lagi ditahan polis selepas disyaki turut bersubahat,” katanya.

Tambahnya, selain gading, polis turut merampas selaras senapang angin, empat laras senapang patah buatan sendiri (bakakuk), peluru hidup, kelongsong peluru, telefon bimbit dan beberapa dokumen lain.

Sehubungan itu, semua suspek akan dibawa ke mahkamah, esok bagi proses permohonan reman, sekali gus siasatan terperinci dijalankan.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 25(1) Enakmen Pemeliharaan Hidupan Liar oleh JHL dan boleh dikenakan hukuman penjara sehingga lima tahun serta denda sebanyak RM250,000, jika sabit kesalahan.

Selain itu, mereka juga bakal didakwa mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 dan Seksyen 6(1) (c) Akta Imigresen 1959/63.