Pembukaan Semula Sekolah Di Sabah Berjalan Lancar

Dr. Mistirine ketika membuat lawatan di Sekolah Tinggi Kota Kinabalu hari ini.

Oleh JENNIFER TUGUNG MICHAEL
KOTA KINABALU: Pembukaan semula sekolah buat pertama kalinya hari ini yang melibatkan pelajar Tingkatan Lima dan Enam berjalan lancar.

Pengarah Pendidikan Sabah, Dr. Mistirine Radin berkata, pembukaan sekolah di setiap daerah  diyakini berjalan lancar berpandukan prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan.

“Saya dapat makluman daripada pegawai-pegawai kami yang melawat sekolah di setiap daerah, setakat ini apa yang kita ajar dalam garis panduan itu mereka patuhi.

“Pagi ini nampaknya semua berjalan lancar dan kami ucapkan terima kasih juga kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) sebab bersama-sama kami memantau pelaksanaan hari pertama ini,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas membuat pemantauan bagi pembukaan semula sekolah di Sekolah Tinggi Kota Kinabalu, pagi tadi.

Walau bagaimanapun, beliau berkata, masih terdapat ruang untuk penambahbaikan dari segi kelancaran mengambil suhu badan, pendaftaran dan budaya membasuh tangan.

Jelasnya, pembelajaran sememangnya akan menjadi fokus utama, namun pematuhan kepada SOP juga harus diutamakan untuk. mengelakkan berlakunya kluster Covid-19 di sekolah.

“Saya boleh katakan pihak sekolah ini bersedia menerima pelajar-pelajar dengan SOP yang ada.

“Cuma saya tengok amalan seperti basuh tangan itu belum jadi budaya lagi, maka pembudayaan itu yang kita akan tumpukan selain daripada pembelajaran,”ujarnya.