Pembukaan Semula Perdagangan Barter Di ESSZone Aktifkan Sektor Ekonomi

TAWAU: Pembukaan semula aktiviti perdagangan barter serta pemindahan dengan negara jiran di Zon Selamat Timur Sabah (ESSZone) sejak 5 Mac lalu dapat mengembalikan prospek positif terhadap sektor ekonomi yang terjejas akibat pandemik COVID-19.

Seorang penggiat aktiviti perdagangan itu, Pengurus R-NIE Enterprise Arniati Sulaiman berkata keputusan membenarkan kapal bukan konvensional (NSC) atau kumpit membawa barangan dari Sabah ke Indonesia dan Filipina serta sebaliknya menyelamatkan pemain industri di Tawau, Sabah daripada mengalami kerugian.

“Aktiviti ini menyumbang kepada ekonomi Sabah dan keputusan diambil kerajaan negeri adalah tepat pada masanya dan memberi kelegaan kepada seluruh pemain perdagangan barter dan pemindahan di Tawau.

“Terdapat sebanyak 132,044 beg beras (25 kilogram setiap beg) serta 6,700 beg gula (50 kilogram setiap beg) ‘terkandas’ di gudang dan kontena di pelabuhan sejak tahun lepas akibat pandemik, ia sepatutnya dihantar ke Filipina dan Indonesia,” katanya kepada Bernama.

Arniati berkata sekiranya dagangan beras dan gula itu tidak dapat dihantar ke Indonesia serta Filipina maka pemilik-pemilik barangan runcit dianggarkan mengalami kerugian melebihi RM7 juta.

Seluruh penggiat aktiviti perdagangan itu serta agensi terlibat dalam sektor itu turut bersedia menerapkan kebiasaan baharu dalam gerak kerja di pelabuhan.

“Kami menitikberatkan keselamatan serta kesihatan semua pihak dalam bidang ini, sejak tahun lalu, tiada pemain atau komuniti dalam sektor ini di sini dikesan positif COVID-19,” katanya. 

Dalam pada itu, Pengerusi Persatuan Sabah Cross-Border Traders Datuk Omar Bachora berkata semua pemain industri itu di Sabah dapat memanfaatkan keputusan positif itu dan menjana hasil untuk negeri itu. 

“Semua pihak diharap dapat mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan Majlis Keselamatan Negara dan bersama-sama mencegah penularan COVID-19,” katanya dengan turut menzahirkan rasa terima kasih kepada kerajaan negeri di bawah pimpinan Ketua Menteri Datuk Hajiji Noor.

Sementara itu, Pembantu Menteri Kewangan Sabah merangkap Anggota Dewan Undangan Negeri Apas, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata kerajaan negeri sentiasa mendengar keluhan dan prihatin dengan keperluan rakyat.

“Saya sebagai antara pemimpin Tawau dikunjungi peniaga bagi membincangkan perdagangan barter dan pemindahan yang digantung sejak Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dilaksana pada 13 Oktober, tahun lepas,” katanya.

Selepas melalui penilaian serta pertimbangan daripada agensi Persekutuan dan Negeri melalui Jawatankuasa Kerja Keselamatan Negeri (JKKN) Sabah yang bermesyuarat pada 2 Mac lepas, kerajaan negeri bersetuju membenarkan pergerakan kapal NCS Indonesia dan Filipina memasuki perairan ESSZone bagi perdagangan barter dan pemindahan.