Pembukaan Lebih Banyak Sektor Pacu Pertumbuhan Ekonomi – Shahelmey

KUNDASANG: Pembukaan pelbagai aktiviti serta sektor ekonomi akan dapat memacu kembali pertumbuhan ekonomi setempat.

Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk Ir. Shahelmey Yahya berkata ia juga akan dapat meningkatkan kesejahteraan rakyat.

Beliau berkata, Namun begitu prosedur operasi standard (SOP) harus sentiasa dipatuhi agar proses pemulihan ekonomi tidak terjejas.

“Pelbagai aktiviti dan sektor-sektor ekonomi sudah mula dibuka, ini termasuklah tamu-tamu dan pasar malam.

“Itu akan dapat meningkatkan ekonomi dan kesejahteraan masyarakat setempat di negeri ini.

“Dalam melakukan aktiviti, penting untuk kita mematuhi SOP agar segala rancangan pemulihan dan pembukaan ekonomi tidak akan terganggu lagi dengan jangkitan-jangkitan atau peningkatan kes disebabkan kecuaian kita” jelasnya.

Shahelmey berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Program Rukun Tetanga (RT) Care di Tamu KRT Kundasang pagi tadi anjuran Jabatan Perpaduan Negara dan Intergrasi Nasional (JPNIN).

Terdahulu, dalam program yang sama, Shahelmey turut menyampaikan sumbangan bakul makanan dan wang tunai kepada peniaga-peniaga Tamu KRT Kundasang yang merupakan Ahli Kawasan Rukun Tetangga Kundasang.

Beliau berharap sumbangan yang diberikan oleh Kementerian Perpaduan Negara melalui JPNIN yang bernaung di bawah Kementerian Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah kepada para peniaga yang baru kembali memulakan perniagaan itu akan dapat meringankan sedikit beban mereka.

“Saya berharap sumbangan ini akan dapat membantu meringankan sedikit beban para peniaga di sini yang baru kembali memulakan perniagaan selepas beberapa bulan” katanya.