Pembukaan Lapangan Terbang Semporna Bantu Pertingkat Pelancongan

Oleh SURAIDAH ROSLAN
KOTA KINABALU: Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Mohd Shafie Apdal menyambut baik langkah pembukaan Lapangan Terbang Semporna.

Beliau berkata, pembukaan lapangan terbang ini amat baik dalam menjimatkan tempoh masa perjalanan pelancong untuk sampai ke Semporna.

Katanya pada ketika ini, tempoh perjalanan dari Kuala Lumpur ke Semporna mengambil masa sehingga empat jam menaiki penerbangan dan jalan darat maka, dengan adanya lapangan terbang ini perjalanan mereka dapat dipendekkan.

“Masa perjalanan sahaja empat jam dan sepatutnya dua jam sahaja. Untuk mengelakkan masa mereka tidak lama dalam perjalanan, ini langkah yang perlu dilakukan dan ada pihak yang menawarkan perkhidmatan mereka.

“Saya juga telah meminta Jabatan Ketua Menteri mengurusnya dengan baik. Disebabkan kita belum tahu perkembanganya percubaan ini maka, kita akan pantau agar harga ditawarkan tidak terlalu mahal kerana itu akan menyusahkan pelancong.

Menurutnya, beliau faham bukan mudah untuk mengusahakan syarikat penerbangan dan banyak syarikat penerbangan di dunia yang muflis kerana kos operasi yang sangat tinggi.

Malah Malaysia Airlines juga berdepan dengan banyak masalah.

Bagaimanapun sekiranya ada syarikat yang mahu mengoperasikan laluan ini (Kota Kinabalu-Semporna), Kerajaan Sabah amat mengalu-alukannya.

“Kita tahu Sabah mempunyai potensi yang cukup baik dalam sektor pelancongan. Apa yang penting kepada kita adalah menyediakan prasarana untuk membolehkan kita permudahkan dan memberi keselesaan kepada pelancong.

“Ini membolehkan mereka mempunyai pilihan sama ada ingin menggunakan jalan darat mahupun menaiki penerbangan untuk memendekkan masa perjalanan. Jadi, kita kena pastikan ia ia diurustadbir dengan baik,” ujarnya.

Mohd Shafie berkata, operasi penerbangan itu dikendalikan sepenuhnya oleh syarikat swasta dan Kerajaan Sabah tidak terlibat dan tidak mempunyai saham dalam syarikat berkenaan.

Pada Khamis, Sabah Air Aviation Sdn Bhd menjalankan penerbangan komersil percubaan dari Lapangan Terbang Tawau ke Lapangan Terbang Semporna.

Penerbangan komersil ini dijangka akan beroperasi bermula Januari 2020.

Penerbangan komersil ke Lapangan Terbang Semporna dihentikan sejak lebih 20 tahun lalu. Penerbangan terakhir dilakukan oleh Malaysia Airlines (MAS) pada 1999.

BERITA BERKAITAN:-

https://www.borneotoday.net/lapangan-terbang-semporna-akan-dibuka-semula-selepas-20-tahun/