Pembukaan Akademi Pelancongan KK Sejajar Keperluan Pelancongan Sabah

Gambar hiasan sahaja.
Gambar hiasan sahaja.

SANDAKAN – Akademi Pelancongan Kota Kinabalu di bawah Jabatan Pendidikan Kolej Komuniti yang akan dibuka tahun depan, bakal memenuhi keperluan sumber manusia industri pelancongan di negeri ini.

Timbalan ketua pengarah jabatan itu, Mohd Nasir Abdul Ghani berkata akademi yang menampung 400 pelajar itu akan menawarkan pengajian dalam bidang perhotelan, hospitaliti, kulinari serta program berkaitan pelancongan.

Beliau berkata program yang ditawarkan sama seperti program di Akademi Pelancongan Langkawi.

Juslie Ajirul
Juslie Ajirul

“Usaha ini menunjukkan kolej komuniti komited untuk melahirkan graduan berkemahiran tinggi dalam bidang perhotelan dan kulinari,” katanya pada Majlis Konvoksyen Kolej Komuniti Negeri Sabah yang disempurnakan oleh Anggota Parlimen Libaran Datuk Juslie Ajirol di sini, hari Sabtu.

Seramai 451 graduan dari tujuh kolej komuniti di negeri ini menerima sijil pada majlis itu.

Mohd Nasir berkata setelah lebih sedekad penubuhan, kolej komuniti berusaha untuk memastikan pelajar dan graduan mendapat segala manfaat bagi melengkapkan mereka menghadapi dunia pekerjaan.

Katanya program pengajian yang ditawarkan oleh kolej komuniti turut mendapat pengiktirafan daripada Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) yang membuka ruang kepada graduan melanjutkan pengajian sehingga ke peringkat diploma, ijazah, sarjana seterusnya ijazah doktor falsafah.

Menurutnya pelajar kolej komuniti dilengkapkan dengan kompetensi dan kemahiran pekerjaan yang selari dengan keperluan industri semasa bagi membolehkan mereka berdaya saing di pasaran pekerjaan.

Beliau berkata penerimaan majikan terhadap pelajar kolej komuniti terbukti apabila kadar kebolehpasaran graduan mencapai 97.1 peratus pada tahun lepas berbanding 94.2 peratus tahun sebelumnya.

Dalam pada itu, ketika menyampaikan perutusan, Juslie yang juga Pengerusi Jawatankuasa Penasihat Kolej Komuniti Sandakan berkata kolej komuniti di seluruh negara kini mencecah 93 buah.

Katanya akses pendidikan yang meluas ini bagi memastikan kesaksamaan dalam menikmati pendidikan dan latihan teknikal serta vokasional diperoleh setiap lapisan masyarakat di negara ini.