Pembinaan Litar Lumba Komitmen Kerajaan Kepada Anak Muda – Azis

437
Azis Jamman menjadi penumpang salah sebuah kereta lumba yang menyertai drag battle itu, turut kelihatan Madius Tangau

Oleh SURAIDAH ROSLAN
KOTA KINABALU: Penyediaan kemudahan litar lumba sepanjang 420m yang dijangka mula dibina tahun hadapan jelas memperlihatkan kesungguhan kerajaan baharu mendekati anak-anak muda yang memerlukan platform yang tepat untuk menunjukan bakat dalam sukan permotoran.

Timbalan Menteri Dalam Negeri merangkap Ketua Wira Parti Warisan Sabah (Warisan) Datuk Azis Jamman berkata, usaha mewujudkan litar lumba ini akan disuarakan di Parlimen bagi membolehkan Sabah mempunyai litar lumba khusus yang boleh digunakan bagi mencungkil bakat anak-anak muda dalam sukan permotoran.

Pada ketika ini, Sabah belum mempunyai sebarang litar lumba yang boleh dijadikan tempat perlumbaan untuk anak-anak muda yang berminat dalam sukan permotoran ini.

Oleh itu, usaha Taman Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP) Autocity untuk mewujudkan litar kekal drag ini sesuatu yang amat dialu-alukan.

Beliau berkata demikian ketika Majlis Pelancaran Program KKIP Autocity Sabah Drag Battle 2018, di sini baru-baru ini.

Program selama empat hari (29 November-2 Disember) itu anjuran bersama KKIP, Wira Warisan dan Persatuan Automotif Bumiputera Sabah (SABA).

Sementara itu, Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau berkata, tapak untuk pembinaan litar lumba itu telah dikenalpasti di kawasan KKIP dan proses pengambilan tanah sedang dijalankan.

“Kita akan cuba percepatkan proses pembinaan litar ini,” katanya kepada media ketika ditemui semasa merasmikan Majlis Pelancaran Program KKIP Autocity Sabah Drag Battle 2018.

Pembinaan litar kekal drag KKIP Autocity itu dianggarkan berjumlah RM 132juta dan akan mengambil masa lima tahun untuk disiapkan sepenuhnya. Namun, untuk pembinaan litar sahaja, ia dijangka boleh disiapkan dalam tempoh setahun.

Kawasan litar itu akan dilengkapi dengan bengkel serta ruangan untuk peniaga Industri Kecil dan Sederhana (IKS) menjual peralatan berkaitan sukan permotoran.

Azis Jamman, tiga dari kiri, dan Madius, empat kanan, bersama Ketua Pegawai Eksekutif KKIP Melvin Disimond, kanan, memotong riben sebagai simbolik pelancaran Program KKIP Autocity Sabah Drag Battle.

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hj Mohd Shafie Apdal dalam teks ucapan yang dibacakan oleh Madius menyatakan pengwujudan litar itu akan terus memacu perkembangan industri sukan permotoran dan pelancongan sukan di Sabah.

Dengan adanya litar itu nanti, ia pasti dapat menarik penggiat sukan permotoran dari negara asing ke Sabah dan ini sekaligus akan membantu meningkatkan lagi industri pelancongan sukan di negeri ini.

“Saya juga berharap KKIP Autocity akan turut memberi peluang kepada pengusaha IKS untuk menyediakan produk serta perkhidmatan berkaitan dengan peralatan sukan permotoran seperti alat ganti kenderaan.

“Disamping itu, pengwujudan litar ini juga boleh menarik pelabur domestik dan antarabangsa dalam sektor automotif untuk melabur di KKIP. Ia sekaligus akan mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan untuk anak tempatan,” katanya.