Pembinaan Landasan Keretapi KK-Kudat Bukan Angan-Angan – Peter

4216
Datuk Peter Anthony bersama dengan Ewon Benedick dan Dumi Masdal, Adun Lahad Datu.

Oleh SURAIDAH ROSLAN
KOTA KINABALU: Pembinaan landasan keretapi sepanjang 175km dari bandaraya ini hingga ke Kudat bukan suatu angan-angan sebaliknya, ia mampu direalisasikan bagi memenuhi keperluan rakyat di Pantai Barat dan Utara Sabah.

Menteri Pembangunan Infrastruktur Datuk Peter Anthony berkata, pembinaan keretapi itu amat dinantikan penduduk di sepanjang kawasan berkenaan kerana ketika ini mereka tidak mempunyai jaringan jalan raya yang baik.

“Dibawah kerajaan baru, tiada angan-angan sudah. Kita mahu membantu rakyat yang sengsara selama ini dan pembinaan landasan keretapi dari Kota Kinabalu-Kudat ini memang dinantikan penduduk Kudat dan Kota Marudu.

“Perancangan membina keretapi ini akan terbina dan akan turut dilaksana di kawasan lain,” katanya ketika menjawab persoalan Adun Sungai Sibuga Tan Sri Musa Aman yang bertanya adakah pembinaan landasan keretapi itu mampu direalisasikan atau sekadar angan-angan kosong berikutan masalah kekangan kewangan dihadapi kerajaan pada ketika ini.

Peter, yang juga Adun Melalap ini berkata, pembinaan kemudahan keretapi sehingga ke Kudat yang memerlukan kos sebanyak RM5.2 bilion itu amat tepat pada masanya.

“Sekiranya landasan keretapi bernilai puluhan billion ringgit boleh dibangunkan di Semenanjung Malaysia, kenapa ia tidak boleh dibangunkan di Sabah. Sudah sampai masanya kita membina rangkaian keretapi untuk menghubungkan Tuaran-Kota Belud-Kudat.

“Mungkin pada masa hadapan, kita juga boleh hubungkan rangakaian keretapi dari Tenom-Nabawan-Kalabakan-Tawau-Sandakan pula,” katanya semasa sesi soal-jawab sempena Persidangan Dewan Undangan Negeri Sabah, di sini pada Selasa.

Menurutnya, pembinaan landasan keretapi itu mempunyai tujuan yang baik selaras dengan perancangan Kerajaan Sabah untuk membina Pelabuhan Lima-limauan di Kudat. Maka, keretapi itu bukan hanya boleh digunakan sebagai pengangkutan untuk penumpang tetapi juga untuk mengangkat barangan dan hasil pertanian dari Sepanggar ke Kudat dan sebaliknya.

Terdahulu ketika menjawab pertanyaan dikemukan Datuk Hajiji Noor (BERSATU-Sulaman) mengenai perkembangan cadangan projek pembinaan landasan keretapi itu, Peter berkata, kementerian melalui Jabatan Keretapi Negeri Sabah (JKNS) sedang dalam proses menyediakan Terma Rujukan (TOR), kajian awalan laluan dan menyediakan tender dokumen bagi tujuan kajian berkenaan. Kesemua proses ini dijangka dapat diselesaikan pada hujung tahun ini.

“Disamping itu, Kerajaan Negeri juga telah meluluskan peruntukan RM1.5juta dalam Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia ke-11 (RMK11) sebagai dana awal bagi melaksanakan kajian tersebut yang dijangka akan dimulakan pada awal tahun depan,” katanya.

Soalan Hajiji itu ditanyakan semula oleh Datuk Jahid Jahim (PBS-Tamparuli) kerana Adun Sulaman itu telah menghantar surat memohon cuti daripada menghadiri persidangan DUN pada kali ini.

Peter berkata, kerja-kerja fizikal pembinaan seperti kerja-kerja pengambilan tanah, pengalihan utiliti dijangka akan dimulakan pada 2021 dan kesemua proses itu dijangka mampu disiapkan dalam tempoh tiga tahun.

Menurutnya, JKNS merancang menambahbaik landasan keretapi sedia ada disamping membina laluan baharu untuk menyediakan kemudahan pengangkutan keretapi yang setara dengan Semenanjung Malaysia.

Katanya, memandangkan projek itu melibatkan kos yang banyak, Kerajaan Sabah perlu mempertimbangkan beberapa pilihan untuk mendapatkan dana seperti geran Persekutuan,pinjaman (soft loan) serta penglibatan sektor swasta.