Pembinaan Klinik Kesihatan Bebuloh Dimulakan Tahun Hadapan

67

LABUAN: Projek pembinaan Klinik Kesihatan Bebuloh bernilai RM20 juta akan bermula awal tahun hadapan, dan dijangka siap sepenuhnya pada 2022 kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.

Katanya projek yang dimasukkan dalam Rancangan Malaysia ke-11 itu sebagai projek utama dan tidak boleh ditangguhkan lagi kerana mengambil kira keperluan penduduk setempat.

“Projek ini perlu bermula segera dan paling lewat awal tahun hadapan dan disiapkan dalam tempoh dua tahun,” katanya di majlis pecah tanah projek Klinik Kesihatan Bebuloh di Kampung Bebuloh di sini hari ini.

Klinik kesihatan kedua di Labuan itu (selepas Klinik Kesihatan Membedai) akan dibina di atas kawasan 4.06 ekar di Kampung Bebuloh dan merangkumi 16 unit rumah kakitangan (‘town house’ kelas F), klinik gigi, pusat penjagaan kesihatan kanak-kanak, makmal dan pusat rawatan pesakit luar.

Katanya sekurang-kurangnya enam pegawai perubatan dan seorang pakar perubatan keluarga dibantu oleh jururawat dalam pelbagai bidang akan ditempatkan di klinik berkenaan bagi menampung lebih daripada 23,000 orang di Kampung Bebuloh dan beberapa kampung berhampiran.