Pembinaan Fasa Pertama Pekan Baharu Melalap Dimulakan Suku Kedua 2018

1638
Ahmad Shah, kiri, menerangkan projek itu kepada yang hadiri mesyuarat itu. Di tengah ialah Radin Malleh.

Oleh BORNEOTODAY
TENOM: Kerajaan Negeri Sabah telah membayar pampasan berjumlah RM14.85 juta kepada Sime Darby Plantation bagi mengambilalih tanah seluas 256 ekar milik syarikat itu yang dijadikan tapak projek pekan baharu Melalap di sini.

Pemaju projek itu ialah Lembaga Perumahan dan Pembangunan Bandar (LPPB), kata Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, Radin Malleh baru baru ini.

Radin yang juga ahli dewan undangan negeri Melalap menambah pampasan itu yang diuruskan oleh Jabatan Tanah dan Ukur Sabah juga telah mengakhiri kemelut pengambilalihan tanah terbabit sejak cadangan projek itu diumumkan oleh kerajaan pada tahun 1988.

“Pada 16 Mac lepas, Jabatan Tanah dan Ukur Sabah (JTU) memaklumkan LPPB bahawa bayaran pampasan dibuat kepada Sime Darby untuk mengambilalih tanah berkenaan.

Gambar internet oleh Christian Eddy Albert pada tahun 2012 menunjukkan dua kedai di Melalap.

“Ini bukan sahaja kejayaan kerajaan BN Sabah dari segi mengotakan akujanjinya untuk melaksanakan projek pekan baharu Melalap tetapi juga hadiah untuk rakyat Sabah khususnya para penduduk daerah Tenom,” tambahnya.

Projek ini membuktikan komitmen dan kesungguhan kerajaan Barisan Nasional Sabah untuk meningkatkan lagi potensi-potensi daerah Tenom khususnya Mukim Melalap dalam pelbagai sektor sosioekonomi, katanya.

Menurut Radin, kerja fasa pertama oleh LPPB pada suku kedua tahun 2018 ialah membina sebuah dewan serbaguna terbuka berharga RM500 ribu untuk kemudahan para peniaga, penjaja dan petani semasa tamu mingguan serta boleh digunakan semasa majlis-majlis rasmi kerajaan, majlis-majlis keramaian dan sosial oleh para penduduk Melalap.

Radin berucap di sesi dialog mengenai status pembangunan Pekan Baharu Melalap anjuran Lembaga Perumahan dan Pembangunan Bandar (LPPB) bertempat di Dewan OKK Datuk Sanggau Jalang, Melalap.

Turut hadir di sesi dailog itu ialah penolong pegawai daerah Tenom, Clarence Puin Pinduruh, pengurus kanan LPPB, Ahmad Shah Mohd Yaakob, Pemimpin Pembangunan Masyarakat DUN Melalap, Simon Mamat, para pegawai LPPB dan Majlis Daerah Tenom, para pemimpin masyarakat dan pengerusi-pengerusi JKKK kampung-kampung yang berdekatan dengan kawasan projek itu.

“Rakyat di Melalap serta pihak swasta yang berminat untuk melabur dan mengambil bahagian dalam pembangunan projek ini seperti mendirikan bangunan komersial dan premis masing-masing dan mereka boleh berhubung dengan pejabat daerah Tenom dan LPPB juga,” katanya lagi.

Pejabat Daerah Tenom juga akan memberi mengadakan mesyuarat dengan semua jabatan dan agensi kerajaan mengenai status terkini projek berkenaan, katanya.

Majlis pecah tanah projek pekan baharu Melalap yang terbahagi kepada empat fasa itu telah dirasmikan oleh Ketua Menteri Sabah, Musa Haji Aman pada 29 September 2012.