Pembesaran Pangkalan TLDM Sandakan Dalam Perbincangan

Oleh RODELIO JUNJUN TAUCAN
KOTA KINABALU: Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Sandakan sedang dalam perancangan untuk diperbesarkan bagi membolehkan penambahan jumlah aset keselamatan di situ di samping memastikan kawalan keselamatan di Pantai Timur Sabah kukuh.

Panglima TLDM, Laksamana Tan Sri Mohd. Reza Mohd. Sany berkata, perkara tersebut merupakan antara perkara yang dibincangkan dalam kunjungan hormat beliau kepada Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal hari ini.

“Hari ini saya sempat berkongsi beberapa perkara berkenaan dengan perkembangan TLDM dan juga tentang isu-isu keselamatan semasa selain daripada itu saya mendapat juga beberapa maklum balas yang agak positif dariapda ketua menteri terutama tentang kemungkinan perluasan pangkalan TLDM khususnya di Sabah Timur.” katanya.

Terdahulu beliau mengadakan pertemuan selama hampir dua jam bersama Mohd. Shafie di Pusat Pentadbiran Negeri Sabah (PPNS) pagi ini.

Menurut beliau, perkembangan semasa keselamatan negara memerlukan lebih banyak aset ditempatkan di Pantai Timur Sabah, justeru fasiliti yang ada perlu diperbesarkan.

Bagaimanapun katanya, perkara tersebut masih di peringkat perbincangan awal kerana perlu melalui beberapa proses terlebih dahulu termasuk penyediaan tanah dan peruntukan daripada Kerajaan Persekutuan.

“Keadaan telah berubah pangkalan yang kita ada di Sandakan sudah lama kita punya bilangan aset semakin banyak dan keadaan keselamatan semasa memerlukan kita menempatkan lebih banyak aset di situ.

“Jadi kita memerlukan penambahan kepada fasiliti-fasiliti sedia ada yang mana penempatan sedia ada tidak mencukupi untuk menampung keperluan aset-aset TLDM jadi kita meihat peluang-peluang untuk kita memeperluaskan pangkalan kita,” katanya.

Sementara itu katanya, TLDM akan terus memberi kerjasama kepada agensi-agensi keselamatan lain termasuk Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur (Esscom), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) dalam memastikan keselamatan sempadan negara terjamin.

“Untuk keselamatan di Pantai Timur Sabah kita bekerjasama dengan agensi-agensi lain khususnya Esscom kita salah satu daripada agensi terlibat termasuk bebeapa rakan sejawat kita daripada PDRM, APMM dan agensi-agensi lain TLDM memberi bantuan kepada agensi-agensi ini untuk melaksanakan penguatkuasaan walaupun tugas utama, tugas pokok TLDM bukanlah penguatkuasaan,” katanya.