Pembersihan Sungai Di Skim Limbawang Bantu Kurangkan Risiko Banjir

BEAUFORT: Pembersihan sungai utama skim Limbawang diyakini akan mengurangkan risiko banjir di beberapa buah kampung berhampiran.

Pembantu Menteri Kerajaan Tempatan Dan Perumahan dan Kewangan II, Datuk Isnin Aliasnih berkata, masalah banjir kilat yang berlaku di kawasan skim Limbawang adalah disebabkan ketiadaan penyelenggaraan pembersihan anak sungai.

Untuk itu, projek pembersihan sungai di skim Limbawang akan dilakukan.

Beliau berkata, peruntukan telah disediakan dan kerja-kerja pembersihan akan dilaksanakan secara berperingkat.

“Saya dimaklumkan kerja-kerja pembersihan sungai utama skim Limbawang telah dimulakan.

“Dalam lawatan ini saya berkesempatan meninjau keadaan anak sungai yang menjadi punca kepada banjir di kawasan ini.

“Selain menjejaskan laluan utama penduduk, banjir kilat ini juga turut menjejaskan tanaman kelapa sawit serta pengusaha untuk mengeluarkan hasil disebabkan saluran yang tersumbat, ” katanya ketika ditemui pemberita selepas membuat tinjauan dan perbincangan bersama jurutera Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Beaufort di Limbawang bypass, di sini hari ini.

Dalam tinjauan itu, Isnin ditemani Jurutera JPS Beaufort, Pg Ismail Pg Osman bagi melihat sendiri keadaan anak sungai yang menjadi punca kepada banjir kilat di Kampung (Kg) Pintas, Kg Kubu dan Kg Selagon.

Selepas tinjauan tersebut, Isnin turut meluangkan masa bersama Pg Ismail bagi membincangkan beberapa perkara berkaitan untuk memastikan tindakan segera dapat diambil bagi mengatasi masalah banjir.

Dalam perkembangan berkaitan, Isnin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Klias memberi jaminan akan melakukan yang terbaik bagi menyelesaikan masalah-masalah yang diutarakan demi keselesaan rakyat.

Oleh itu, beliau berharap rakyat akan terus memberikan sokongan dan kepercayaan kepada kerajaan pimpinan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dalam membawa pembangunan dan kemajuan yang memberi manfaat kepada rakyat di negeri ini.

Dalam masa sama, beliau mencadangkan kepada Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah untuk memasang cermin sisi di jalan Limbawang bypass simpang empat berdekatan Jalan Pintas berikutan kekerapan kemalangan di lokasi tersebut.