Pembersihan Daftar Pemilih Bagi Pengundi Miliki IC Secara Tidak Sah Masih Dijalankan

152

Oleh SURAIDAH ROSLAN
KOTA KINABALU: Pasukan Petugas Khas yang dianggotai pegawai Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) akan terus menjalankan pembersihan ke atas daftar pemilih yang disyaki memiliki Kad Pengenalan (IC) secara tidak sah.

Pengerusi SPR Datuk Azhar Azizan Harun berkata, sejak Pasukan Petugas Khas itu ditubuhkan sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) lalu, sejumlah 16,000 daftar pemilih telah dikeluarkan daripada senarai pengundi di seluruh negara kerana didapati memiliki IC yang meragukan hingga menyebabkan mereka tidak layak untuk mengundi.

Beliau berkata, pemeriksaan ini akan diteruskan dengan bantuan Kementerian Dalam Negeri bagi memastikan daftah pemilih yang ada bersih daripada pengundi yang tidak selayaknya mengundi.

Bagaimanapun, belum ada data pembersihan terbaharu yang dilakukan sejak beliau memegang jawatan pengerusi SPR.

Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas Sesi Libat Urus SPR bersama parti-parti politik negeri Sabah dan Pertubuhan-pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO), di sini hari ini

Kemudian ditanya mengenai isu dibangkitkan dalam sesi libat urus itu, Azhar berkata, isu pelaksanaan kelayakan umur pengundi 18 tahun, persempadanan semula dan kewarganegaraan antara perkara yang banyak dibangkitkan.

Katanya, memandangkan isu pelaksanaan umur pengundi 18 tahun ini masih baharu maka, ia banyak dipersoalkan dalam sesi kali ini.

“Kelayakan pengundi 18 tahun dan pendaftaran pemilih secara automatik ini dijangka akan disiapkan dalam tempoh 18 hingga 24 bulan.

“Jangkaan tarikh pelaksanaan tersebut selewat-lewatnya pada Julai 2021,” ujarnya.