Pemberian Dos Kedua Vaksin Polio Di Sabah Rendah

Oleh SURAIDAH ROSLAN
KOTA KINABALU: Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) akan meneruskan Kempen Imunisasi Polio Sabah (KIPS) berikutan peratusan pemberian dos kedua bOPV (bivalent Oral Polio Vaccine) sangat rendah.

Pengarah Kesihatan Negeri Sabah, Datuk Dr Christina Rundi berkata, pencapaian setakat 28 Mei bagi dos pertama bOPV adalah 80.8 peratus dan bagi dos kedua pula adalah 47.1 peratus.

Beliau berkata, keadaan ini disebabkan pelaksanaan kempen yang tergendala akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang bermula sejak 18 Mac.

Katanya, kempen tersebut perlu diteruskan memandangkan peratusan bOPV dos kedua yang

rendah dan keperluan untuk memulakan pemberian mOPV (monovalent Oral Polio Vaccine) sebanyak dua dos.

Justeru itu, kempen imunisasi berkenaan akan dipertingkatkan di semua daerah di mana imunisasi bOPV dan mOPV akan diberikan kepada semua kanak-kanak di bawah 13 tahun di semua klinik

kerajaan, stesen (post) statik seperti dewan dan stesen bergerak.

Dengan itu, beliau menyeru semua ibu bapa agar membawa anak-anak mereka yang berumur di bawah 13 tahun yang belum lengkap imunisasi untuk mendapatkan vaksin Polio di mana-mana klinik atau stesen yang berdekatan.

“Usaha ini bagi memastikan imuniti kelompok dicapai, peratus liputan imunisasi harus melebihi 95 peratus.

“JKNS berharap wabak Polio yang sudah berlarutan selama enam bulan ini dapat ditamatkan apabila

imuniti kelompok dicapai,” katanya dalam satu kenyataan, di sini semalam.

Christina berkata, pada 6 Disember lalu, kes pertama Polio disahkan di Sabah setelah Malaysia bebas daripada virus itu sejak 27 tahun lalu.

Selepas itu, tiga lagi kes disahkan menghidap virus Polio menjadikan jumlah keseluruhan kes Polio di Sabah setakat 28 Mei, sebanyak empat kes.

Mengulas lanjut, beliau berkata, JKNS yakin orang ramai sudah faham kepentingan imunisasi memandangkan semasa wabak Covid-19 ini, semua orang mengharapkan vaksin untuk melindungi daripada jangkitan ini dapat dihasilkan dengan segera.

Katanya, penerapan norma baru dalam kempen imunisasi juga dititikberatkan bagi mengelakkan penularan COVID-19 semasa kempen ini.