Pembayaran Bantuan Covid-19 Kepada Miskin Tegar & Golongan B40 Bermula Hari Ini

Oleh SURAIDAH ROSLAN
KOTA KINABALU: Pembayaran bantuan tunai secara one-off kepada golongan miskin tegar, golongan B40, kumpulan vulnerable dan pesakit Covid-19 mula dibayar secara berperingkat hari ini.

Setiausaha Kerajaan Negeri (SKN) Sabah Datuk Safar Untong dalam satu kenyataan berkata, pembayaran elaun bantuan khas one-off RM500 kepada golongan miskin dan miskin tegar dibayar secara online mulai hari ini.

Beliau berkata, pembayaran dilakukan oleh semua Pejabat Daerah di seluruh Sabah. Bagi yang tidak mempunyai akaun bank, pembayaran akan dilakukan secara tunai.

Manakala, pembayaran yang dibayar hari ini melibatkan bayaran secara one-off RM300 kepada golongan berpendapatan rendah B40 atau golongan yang terjejas teruk akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Katanya, pembayaran ke atas golongan B40 mula dibayar secara online ke akaun bank setiap penerima hari ini.

“Golongan ini terdiri daripada pemandu teksi, petani, pekebun, nelayan, penternak, malim gunung dan ‘porters’ serta pemandu pelancong bebas (freelance),” katanya.

Pembayaran bantuan secara one-off RM300 bagi kumpulan vulnerable seperti warga tua, anak yatim, orang kelainan upaya (OKU) serta ibu tunggal akan mula dibayar esok (27 Mac).

Kumpulan vulnerable ini melibatkan seramai 62,638 orang manakala, penerima ibu tunggal pula seramai 6,500 orang.

Sementara, pembayaran bantuan secara one-off RM500 kepada pesakit atau ahli keluarga pesakit Covid-19 pula akan dibayar ke akuan bank masing-masing atau disalurkan melalui Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS).

Mengenai agihan bantuan makanan kepada golongan terjejas yang melibatkan peruntukan RM18 juta pula, Safar berkata, bantuan itu mula diagihkan pada 3 petang semalam.

“Bantuan ini dijangka akan dapat diterima oleh kumpulan sasar pada hari ini. Manakala bagi selebihnya, bantuan akan disampaikan dalam tempoh yang terdekat,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau juga mengarahkan mana-mana pelajar atau orang awam yang balik dari luar negara sepanjang tempoh PKP dilaksana, mereka perlu menjalani kuarantin selama 14 hari di Pusat Kuarantin yang disediakan.

Manakala bagi mana-mana pelajar atau orang awam yang balik dari luar negeri ke Sabah sepanjang tempoh PKP, mereka akan diminta menjalani kuarantin di rumah selama 14 hari.

Bagi mereka yang ingin mendapatkan maklumat mengenai Pakej Bantuan Covid-19, boleh menghubungi Pusat Arahan Covid-19 Sabah di laman sosal berikut:-

Dashboard : covid19.sabah.digital

Twitter : @CovidSabah

Instagram : sabahcovid19

Facebook : Sabah Covid-19 Command Centre