Pembatalan Penerbangan Wuhan – KK Dilanjutkan Sehingga 29 Februari

Oleh RODELIO JUNJUN TAUCAN
KOTA KINABALU: Langkah-langkah pencegahan terhadap penularan koronavirus di negeri ini diteruskan apabila pembatalan semua penerbangan pergi balik dari Wuhan, China ke Kota Kinabalu dilanjutkan sehingga 29 Februari depan.

Syarikat penerbangan tambang murah, Air Asia Berhad (AirAsia) dalam kenyataan berkata, pembatalan tersebut turut melibatkan penerbangan dari Bangkok dan Phuket, Thailand ke Wuhan.

Sebelum ini, semua penerbangan terus Wuhan – Kota Kinabalu dibatalkan bermula Jumaat lalu dan sepatutnya berakhir hari ini.

Bagaimanapun, situasi penularan wabak koronavirus yang semakin meruncing menyebabkan kerajaan mengambil langkah tegas membatalkan semua penerbangan dari Wilayah Hubei, China ke negara ini.

Semalam, Putrajaya mengumumkan penggantungan sementara semua kemudahan tanpa visa, Visa Semasa Ketibaan, e-visa dan visa manual kepada semua rakyat China yang berasal dari bandar Wuhan dan Wilayah Hubei.

Keputusan tersebut dibuat selepas Malaysia mengesahkan empat kes positif koronavirus membabitkan pelancong dari China yang masuk ke Johor dari Singapura.

Koronavirus yang disyaki berpunca dari sebuah pasar di Wuhan kini telah  meragut seramai 106 nyawa setakat hari ini dengan 4,515 lagi dijangkiti virus berkenaan.

Bandar raya Wuhan kini diletakkan di bawah sekatan ketat, termasuk seluruh wilayah Hubei.

Koronavirus boleh mencetuskan masalah pernafasan yang teruk dan setakat ini belum ada vaksin atau penawar untuk mengubatinya.

Sebahagian besar daripada kematian membabitkan orang tua yang mempunyai masalah pernafasan.