Pembantu Kesihatan Ditangkap Buat Kad Pengendali Makanan Palsu

461
Zaini menunjukkan kad kesihatan pengendali makanan palsu yang dibuat oleh suspek.

KOTA KINABALU: Seorang Pembantu Perawatan Kesihatan Gred U11 di Hospital Ranau telah ditangkap kerana didapati membuat Kad Kesihatan Pengendali Makanan palsu.

Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Zaini Jass berkata, suspek yang merupakan lelaki tempatan berusia 37 tahun itu didapati menawarkan perkhidmatan membuat Kad Kesihatan Pengendali Makanan palsu sejak 2014.

Kegiatan itu terbongkar apabila berlaku kejadian keracunan makanan di salah sebuah sekolah di Ranau baru-baru ini.

Berikutan kejadian itu, seorang penolong pegawai kesihatan tampil membuat laporan polis pada 25 Jun setelah melakukan pemeriksaan ke atas lima premis makanan termasuk empat kantin sekolah dan sebuah restoran sekitar Ranau.

Cop pegawai kesihatan dan Hospital Ranau yang dibuat sendiri oleh suspek.

“Dalam laporan pengadu, setelah membuat pemeriksaan dan semakan didapati cop dan tandatangan pegawai pengesah pada kad-kad tersebut adalah palsu.

“Malah tiada maklumat didaftarkan dalam sistem Jabatan Kesihatan atas nama pekerja-pekerja di lima premis makanan berkenaan. Rekod pembayaran juga tidak wujud walhal, mengikut prosedur setiap kad (didaftarkan) perlu membuat pembayaran sebanyak RM100 setiap seorang.

“Disamping itu, terdapat tandatangan palsu milik seorang pegawai kesihatan yang telah berpindah ke Semenanjung Malaysia sejak Januari 2019 yang digunakan dalam aktiviti ini,” katanya dalam Sidang Media, di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sabah, di sini pada Isnin.

Semasa pengadu menjalankan pemeriksaan, pengusaha kelima-lima premis mengaku mendapatkan kad kesihatan itu daripada ejen dengan bayaran RM100 seorang.

Menurutnya, hasil siasatan dan maklumat yang diperolehi daripada pengadu membawa kepada tangkapan ke atas seorang lelaki bertugas sebagai Pembantu Perawatan Kesihatan di Hospital Ranau.

Semasa tangkapan itu, polis turut menemui 25 keping kad kesihatan, tiga cop pegawai perubatan dan satu cop Hospital Ranau.

Kad Kesihatan Pengendali Makanan yang berjaya dirampas.

Pengadu telah ditahan reman selama empat hari dan diberi jamin polis pada 13 Julai. Kes ini disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan atas kesalahan melakukan penipuan.

Zaini berkata, jika didapati pengusaha premis terlibat mengetahui suspek mengeluarkan kad kesihatan palsu, mereka boleh dituduh bersubahat dalam kes berkenaan.

Katanya, kejadian sebegini berlaku kerana pengusaha premis ingin mengambil jalan mudah tidak mahu melalui proses pemeriksaan kesihatan kerana dikhuatiri pekerja mereka tidak lepas saringan kesihatan.

“Atas sebab itu, saya menasihatkan orang awam supaya tidak mengambil jalan mudah khususnya kepada pengendali premis makanan bagi mendapatkan kad kesihatan. Mereka perlu mengikut saluran yang betul.

“Orang awam diminta tidak membuat sebarang spekulasi bagi mengelakkan sebarang gangguan dalam siasatan kes polis,” jelasnya.