Pembangunan Untuk Kepayan Terbantut Akibat Katak Politik

Oleh SURAIDAH ROSLAN
PENAMPANG: Tiga undang-undang kecil yang dirancang untuk digubal bagi kawasan Kapayan dan Penampang tertangguh susulan senario politik semasa.

Penyandang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kapayan, Jannie Lasimbang berkata, itu antara perancangan yang disusun bagi membawa perubahan kepada sistem pentadbiran sedia ada di daerah ini.

Beliau berkata, beliau merancang untuk menggubal tiga undang-undang kecil pada tahun ini iaitu berkaitan pengurusan sisa buangan, geran tanah atau hak milik strata dan bangunan.

Mantan Pembantu Menteri Undang-undang dan Hal Ehwal Anak Negeri ini berkata, beliau sudah mengenal pasti undang-undang kecil yang dilaksana di Pulau Pinang yang boleh menjadi rujukan dan sepatutnya mesyuarat mengenainya diadakan minggu hadapan.

Bagaimanapun, pihak Majlis Daerah Penampang boleh meneruskan tersebut bagi mendapatkan persetujuan bagi proses pelaksanaan.

Untuk geran tanah pula, beliau dapati masih ramai penduduk yang belum memilik geran tanah masing-masing dan kewujudan undang-undang kecil itu akan mempercepatkan proses pengeluaran geran. Mungkin dalam tempoh setahun suda boleh mendapat geran.

Bagi undang-undang kecil bangunan pula, langkah ini boleh menyeimbangkan proses urbanisasi yang tidak seimbang hingga menyebabkan kawasan kampung kelihatan tenggelam akibat pembangunan yang berlaku.

“Kita berada di kawasan pinggir bandar jadi pembangunan yang berlaku perlu diseimbangkan kerana setiap kali banjir, banyak kawasan terjejas. Ini berlaku disebabkan pembangunan sedia ada tidak mengambil kira kawasan kampung,” katanya ketika ditanya mengenai perancangannya untuk kawasan DUN Kapayan tahun ini.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Penyampaian Bantuan Perusahaan Kecil & Sederhana (PKS) mikro yang terjejas akibat Covid-19 bagi kawasan Kapayan, di sini hari ini.

Tambahnya, untuk kawasan rumah murah Kepayan, beliau juga merancang menaik taraf dan menjenamakan semula kawasan itu agar dikenali sebagai Kepayan Square.

“Antara perancangan yang dibuat adalah membina kawasan berbumbung di sini. Sebenarnya peruntukan telah disediakan untuk pembangunan ini tapi disebabkan keadaan semasa (Perintah Kawalan Pergerakan), pembinaan mungkin boleh dimulakan tahun hadapan.

Dalam majlis itu, seramai 156 orang penerima bantuan PKS mikro bagi membantu golongan penjaja yang terjejas akibat Covid-19.

Beliau berharap bantuan sebegitu dapat merinankan bebanan dan membantu golongan peniaga kecil meneruskan perniagaan mereka biarpun dalam keadaan negara masih dilanda wabak Covid-19.