Pembangunan Pelabuhan Kudat Akan Memberikan Tempias Kemajuan Ke Kawasan Sekitarnya

JAUJAN (empat kiri) menyampaikan sumbangan kepada seorang mangsa kebakaran sambil disaksikan George (kiri), Ben (dua kiri) Mohammad (empat kanan).

KUDAT: Pembangunan pelabuhan di Kudat sekaligus akan membangunkan kawasan-kawasan di sekitar, khususnya pulau seperti Banggi dan Balambangan.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Jaujan Sambakong berkata, bandar Kudat mempunyai potensi yajg yang sangat tinggi untuk dibangunkan kerana nilainya nanti berjumlah bilion ringgit.

“Kerajaan kini sedang berusaha ke arah pembangunan bandar berkenaan.

“Berdasarkan sejarah ketika zaman kolonial British dahulu, ibu negeri Sabah adalah terletak di Kudat.

“Pada ketika itu, pihak kolonial sudah nampak potensi Kudat sebagai pemangkin ekonomi negeri ini, sejarah dagang China juga mula bertapak di Kudat,” katanya ketika ditemui selepas menyempurnakan Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri Dewan Undangan Negeri (DUN) Banggi, di sini pada Isnin.

Beliau berkata, kerajaan baharu tidak mempunyai alasan untuk tidak membangunkan kawasan ini yang mempunyai pelbagai potensi penjanaan ekonomi.

Katanya, Banggi adalah sebuah pulau yang terbesar dalam negara ini dan ianya terletak di Kudat. Lokasi itu sangat berdekatan dengan Hong Kong, China, Filipina dan Jepun, pembinaan pelabuhan di sini sesuai sekiranya jarak kesemua negara itu diambil kira berbanding pelabuhan Klang.

Terdahulu dalam ucapannya , Jaujan yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan berkata, Pulau Banggi mempunyai satu industri kraftangan yang menarik seperti beg tangan.

“Saya juga akan memberikan sejumlah peruntukan bagi membangunkan industri itu di sini… sudah pasti sekiranya pihak berkaitan berjaya menarik pelancong ke sini, Kudat bakal menjadi tumpuan destinasi peranginan.

“Kita juga akan membuat satu balai bomba di pulau ini bagi memastikan keselamatan para penduduk di sini sekiranya berlaku kebakaran,” katanya.

Dalam pada itu, Jaujan juga menjelaskan kerajaan negeri akan tunaikan pembangunan di Pulau Banggi. Masalah seperti jalan raya, bekalan air, pendidikan dan lain-lain akan diatasi.

“Saya akan pastikan pulau ini mengalami perubahan positif, bagaimanapun semua masyarakat di sini perlu memberikan kerjasama penuh kepada pemimpin di isni.

“Dalam lima tahun ini saya mahu Banggi lebih baik dari Pulau Bum Bum,” katanya.

Katanya, Banggi juga adalah satu pulau yang setaraf seperti Sipadan dan lain-lain pulau indah dalam negeri ini. Usaha ke arah memperkenalkan Pulau Banggi diperingkat luar negeri akan diperkasakan.

Hadir sama ialah Adun Banggi merangkap Pembantu Menteri Pelajaran dan Inovasi Mohammad Mohamarin, Pembantu Menteri Menteri Perdagangan dan Perindustrian Ben Chong, Pembantu Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan George Hiew serta tetamu kehormat yang lain.