Pembangunan Modal Insan Dalam Kalangan Belia Terus Dipertingkat

KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri komited dalam meningkatkan keberkesanan strategi bagi pembangunan modal insan dalam kalangan belia di Sabah.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor berkata, beberapa inisiatif baharu sedang dirangka berpandukan saranan dan pendapat kelompok sasar melalui pelbagai platform.

“Sebagai contoh, cadangan pelaksanaan Program Inkubator Kepimpinan Belia Sabah (IKeBS) yang dirancang bersama Kementerian Belia dan Sukan Sabah dan Majlis Belia Sabah antara yang menarik perhatian sebagai teras pembangunan para belia.

“Selain itu, Program Felo Belia Felo Sabah Maju Jaya (Felo SMJ) juga menjadi salah satu strategi dalam memberikan pendedahan dan membina potensi serta keterampilan diri golongan belia.

“Pada program Felo SMJ, peserta akan ditempatkan sebagai pelatih dalam agensi kerajaan dan badan berkaitan kerajaan (GLC) untuk mendapatkan pendedahan mengenai alam kerjaya,” katanya dalam Majlis Sambutan Hari Belia Negeri Sabah di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah, pada Sabtu.

Dalam pada itu, Hajiji menjelaskan akan terus memberikan kerjasama penuh dalam pelaksanaan Program Jaringan Digital Negara (JENDELA).

Menurutnya, sebanyak 78 menara telekomunikasi telah siap dibina manakala 510 menara lagi dalam pembinaan bagi meningkatkan capaian 4G di Sabah sebanyak 90 peratus.

Hadir sama, Menteri Belia dan Sukan Sabah merangkap Pengerusi Jawatankuasa Induk Hari Belia Negeri Sabah 2021, Datuk Ellron Angin dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Panglima Safar Untong.