Pembangunan Komprehensif & Mampan Penting Tarik Pelabur – Darell

123
Darell (berdiri-dua kiri) menyaksikan acara menandatangani dokumen penyertaan empat PBT Malaysia sebagai Ahli Global Covenant of Mayors for Climate & Energy (GCOM) Asia, di sini pada Sabtu.

Oleh SURAIDAH ROSLAN
KOTA KINABALU: Pelan pembangunan komprehensif yang mengambil kira pembangunan mampan perlu diberi penekanan bagi membolehkan lebih banyak pelabur datang ke Sabah.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Darell Leiking bekata, pembangunan mampan dan perubahan iklim antara faktor penting yang diambil kira oleh pelabur.

Beliau berkata, dalam melakukan pelaburan, antara aspek yang dilihat adalah bagaimana kelestarian alam sekitar dilaksana di sesuatu kawasan.

“Sekiranya Sabah menjaga alam sekitar dengan baik dan menguatkuasaan anti kutu sampah, orang luar pasti akan berkunjung ke sini.

“Atas sebab itu tindakan penguatkuasaan dalam menangani masalah pembuangan sampah perlu disokong,” katanya ketika ditemui semasa Majlis Perasmian Forum Global Covenant of Mayors for Climate & Energy, di sini pada Sabtu.

Beliau, yang juga Ahli Parlimen Penampang ini berkata, jika dilihat Timbalan Ketua Menteri yang bertanggungjawab terhadap Pihak Berkuasa Tempatan di peringkat negeri sedang berusaha meningkatkan penguatkuaaan PBT di Sabah.

Oleh itu, apabila penguatkuasaan dilakukan, jangan pula ada aduan yang mendakwa kerajaan bertindak kejam kerana mengenakan saman dan memaksa rakyat melakukan aktiviti kemasyarakatan memungut sampah dengan memakai vest bertulis ‘Monyet’.

Ketika PBT Semporna menguatkuasakan tindakan penguatkuasaan sebegitu, orang ramai mengecam. Namun, apabila nampak hasil yang memperlihatkan kawasan Pekan Semporna bersih, baru tindakan sebegitu dipuji.

“Mungkin dalam 10 orang tidak gembira tetapi, ada 100 orang yang gembira jadi kita kena sokong keputusan yang dibuat (PBT). Akan tetapi, jika ada yang menyalahguna kuasa dengan meminta wang (duit kopi) supaya tidak perlu saman, itu kena buat aduan,” jelasnya.

Dalam pada itu, beliau juga meminta negara Eropah membantu Sabah dalam melaksana mitigasi alam sekitar untuk pembangunan mampan.

Katanya, selain bantuan tenaga pakar, bantuan kewangan juga diperlukan dalam membantu Malaysia dan Sabah mengurangkan impak perubahan iklim serta menguruskan alam sekitar dengan lebih baik.

Menurutnya, setiap kerajaan perlu belajar menguruskan tebatan banjir di kawasan masing-masing kerana setiap kawasan mempunyai masalah dan langkah penyelesaian berbeza. Banjir adalah perkara biasa namun, punca kepada berlakunya banjir di setiap kawasan berbeza.

Berkemungkinan sesetengah kawasan terlebih membangun dan ianya salah kerajaan itu sendiri.

Oleh itu, pelan pembangunan secara komprehensif perlu diambil kira ketika merancang pembangunan di sesuatu kawasan.