Pembangunan Keseluruhan Sektor Pertanian Sabah Dalam 10 Tahun

115
Jun menyampaikan ucapan dalam Sidang Kemuncak Agritech 2019.

Oleh RODELIO JUNJUN TAUCAN
KOTA KINABALU: Sabah akan menjadi antara negeri paling membangun dalam sektor pertanian, penternakan dan perikanan bagi tempoh 10 tahun akan datang melalui Pelan Pembangunan Pertanian 2021-2030 yang dilanncarkan Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal baru-baru ini.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Junz Wong berkata, bagi mencapai hasrat itu, Sabah akan beralih daripada kebergantungan terhadap industri tanaman sawit kepada mempelbagaikan produk demi memastikan ekonomi negeri terus dirancakkan.

Katanya, sebanyak 2.1 juta hektar tanah di negeri ini dikenal pasti sesuai untuk sektor pertanian iaitu tambahan kepada 1.4 juta hektar tanah yang telah pun dibangunkan untuk sektor berkenaan.

“Ini adalah fokus kerajaan negeri untuk menjadikan semua baki tanah yang sesuai untuk pertanian digunakan untuk tanaman. Sabah mempunyai potensi untuk meningkatkan produktiviti dalam penghasilan pertanian, ternakan serta perikanan.

“Pelan tindakan yang dilancarkan memberi tumpuan kepada pelbagai jenis tanaman antaranya padi, kelapa, nenas, durian, sayur-sayuran, kopi, pamelo dan avokado manakala kerajaan sudah merancang menukar sekurang-kurangnya 10 peratus daripada tanaman sawit apabila tiba masanya,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucaptamanya semasa Majlis Penutupan Sidang Kemuncak Agritech 2019 di Kuala Lumpur hari ini.

Junz berkata, dalam sektor penternakan, kerajaan memberi fokus kepada lembu ternak, penghasilan susu, khinzir dan sarang burung manakala sektor perikanan akan ditumpukan di pesisiran pantai melibatkan timun laut, udang, ketam serta rumpai laut.

Katanya, untuk memastikan sektor berkenaan mapan dan harganya stabil, kerajaan bekerjasama dengan syarikat-syarikat utama untuk beberapa jenis tanaman yang mempunyai pasaran meluas.

Junz bergambar bersama para peserta dalam Sidang Kemuncak Agritech 2019.

Jelas beliau, Zon Industri Akuakultur telah diwujudkan meliputi daerah Sandakan, Lahad Datu, Tawau, Beaufort dan Kuala Penyu manakala penanaman rumpai laut tertumpu di Semporna, Kunak Tawau serta Lahad Datu.

Sementara itu, Junz menegaskan pembangunan sektor pertanian akan turut menggunakan teknologi tinggi seperti pembangunan data dan mesin-mesin canggih untuk meningkatkan hasil pengeluaran.

“Kerajaan mengalu-alukan sesiapa sahaja untuk melabur dan membantu pembangunan negeri. Kita bersama-sama memacu pertumbuhan produk bernilai tinggi untuk eksport, meningkatkan kualiti dan produktiviti untuk hasil makanan serta menggiatkan pembangunan dan penyelidikan (R&D),” tambah beliau.