Pembangunan Infrastruktur Pendidikan Terus Diberi Perhatian

317
Uda melawat tapak pembinaan SMK Petagas, di sini pada Khamis

Oleh SURAIDAH ROSLAN
PUTATAN: Kerajaan Negeri komited dalam memastikan pembangunan infrastruktur pendidikan di daerah ini diteruskan bagi memenuhi keperluan pelajar yang semakin meningkat pada masa hadapan.

Pembantu Menteri Undang-Undang dan Hal Ehwal Anak Negeri Datuk Uda Sulai berkata, projek sekolah daif dan pembinaan sekolah baharu yang sedang dilaksanakan ketika ini antara usaha yang diambil untuk mengatasi masalah kesesakan pelajar di sekolah-sekolah sedia ada.

Beliau berkata, sekolah-sekolah yang ada semakin sesak dan melebihi kapasiti bilik darjah sedia ada.

Maka, pemimpin sepertinya perlu memainkan peranan memantau perkembangan projek pembangunan sekolah yang sedang dilaksana di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing. Ia bagi memastikan pelaksanaan projek pembangunan berjalan lancar.

Projek pembinaan SMK Petagas berjalan lancar

”Ketua Menteri juga mengingatkan setiap wakil rakyat supaya mengambil tahu dan memantau perkembangan projek yang dilaksana di kawasan masing-masing.

”Dengan lawatan sebegini, kita dapat memastikan pelaksanaan projek berjalan lancar dan mampu disiapkan mengikut jadual ditetapkan,” kata Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Petagas ini.

Beliau berkata demikian ketika Sidang Media selepas mengadakan lawatan kerja ke beberapa tapak pembinaan sekolah sekitar Putatan, di sini pada Rabu.

Mengulas lanjut, Uda berkata, lawatan itu merupakan lawatan kerja bagi memantau pelaksanaan projek-projek pembangunan di bawah Kementerian Pendidikan Persekutuan.

Uda memantau perkembangan terkini pembinaan projek pendidikan di kawasan DUN Petagas

Mengenai perkembangan projek pembinaan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Petagas, Uda berkata, penyiapan projek itu akan membantu mengatasi kesesakan pelajar di SMK Putatan dan SMK Tansau yang dihadapi ketika ini.

Katanya, pembinaan SMK Petagas yang dijangka siap pada Julai 2020 itu akan menempatkan 36 bilik darjah, 16 unit rumah guru kelas F serta dewan perhimpunan.

Pembinaan sekolah menengah baharu di kawasan Putatan yang mula dibina pada April 2018 dengan kos pembinaan RM39juta itu dijangka mampu menampung lebih 1,000 orang pelajar.

“Perkembangan projek ini berjalan mengikut jadual, tidak lewat dan dijangka siap tahun depan.

”Sekolah ini perlu disiapkan segera berikutan keadaan kesesakan bilik darjah di sekolah-sekolah menengah sedia ada yang sudah melebihi kapasiti.

”Jika projek ini siap, sekolah baharu ini akan menampung kesesakan pelajar.

”Penduduk semakin bertambah maka, kita perlu merancang lebih awal untuk menampung keperluan pendidikan pada masa akan datang,” ujarnya.

Menyentuh tentang sekolah-sekolah yang mengalami kerosakan dan perlu pembaikan, Uda berkata, beliau akan meminta kementerian terlibat dan Jabatan Pendidikan Negeri supaya mendapatkan bantuan Kementerian Pendidikan untuk melaksanakan segera kerja-kerja membaik pulih.