Pembangunan Ekonomi Fokus Warisan Dalam PRN Sabah

Oleh SURAIDAH ROSLAN
KOTA KINABALU: Parti Warisan Sabah (Warisan) akan memberi fokus kepada pembangunan ekonomi melalui ‘Sabah New Deal’ dalam kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah kali ini.

Ini pastinya pendekatan berbeza yang diambil Warisan berbanding manifesto yang digariskan dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

Presiden Warisan, Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal berkata, beliau akan menjadikan Sabah New Deal sebagai asas kepada manifesto Warisan dalam PRN Sabah.

Katanya, pakej pemulihan ekonomi ‘Sabah New Deal’ yang diumumkan pada Jun lalu akan ditambah baik bagi membantu Sabah mucul sebagai negeri yang berdaya saing.

“Kita tidak mempunyai sebarang manifesto tapi kita mempunyai New Deal yang saya telah nyatakan sebelum ini. Sesuai dengan keadaan yang dihadapi di seluruh dunia dan negara ini.

“Keutamaan kita adalah meningkatkan ekonomi negeri Sabah. Sektor pelancongan domestik, penggunaan tempatan dan keselamatan makanan juga antara aspek yang perlu diberi perhatian,” katanya ketika mengulas mengenai manifesto Warisan semasa temuramah untuk segmen ‘Breakfast Grille’ radio BFM, pagi tadi.

Pakej Sabah New Deal dilancarkan pada 18 Jun dengan peruntukan RM240 juta bagi menyuburkan kembali ekonomi Sabah yang terjejas akibat pandemik Covid-19.

Beliau berkata, dibawah New Deal, beliau akan melihat langkah yang boleh digunakan bagi membangunkan industri pelancongan domestik. Selain itu, kerjasama dengan negara zon hijau juga akan dilihat untuk membawa masuk pelancong dari negara tersebut datang ke Sabah.

Katanya, Sabah juga akan memberi fokus untuk meningkatkan keselamatan makanan untuk muncul sebagai negeri yang menjadi hab-makanan bagi negara jiran seperti Singapura dan Brunei Darussalam.

Tambahnya, Sabah mempunyai sumber dan kawasan yang luas untuk penanaman sumber makanan yang berpotensi untuk dieksport.

Beliau turut melihat kebergantungan Sabah kepada sektor pelancongan memberi impak besar kepada ekonomi ketika berlakunya pandemik Covid-19 ini.

“Atas sebab itu, kita perlu membangunkan industri hiliran dalam sektor perindustrian seperti menghasilkan produk daripada kelapa sawit, kayu kayan dan getah,” katanya.

Ketua Menteri kepada kerajaan sementara Sabah ini berkata, beliau mahu melihat Sabah membangun sebagai negeri perindustrian yang mampu menghasilkan banyak produk hiliran.

Beliau berkata, Sabah tidak boleh bergantung kepada eksport minyak sawit mentah (CPO), getah dan kayu kayan tanpa diproses.

Katanya, industri hiliran perlu dibangunkan bagi memberi nilai tambah kepada sumber sedia ada. Ini sekaligus akan membangunkan ekonomi Sabah dan membuka peluang pekerjaan kepada anak tempatan.

“Kita perlu menghasilkan produk hiliran kayu kayan kerana kita mempunyai sumber yang banyak. Namun, ini perlukan sedikit masa untuk dibangunkan kerana perlu ada kapasiti kewangan dan tenaga kerja berkemahiran.

“Saya telah berbincang dengan IKEA untuk bekerjasama dengan syarikat tempatan untuk membangunkan industri perabot di Sabah kerana mereka banyak mengimport kayu kayan dari Sabah. Malah, untuk getah pula, kita akan lancarkan sarung tangan getah,” ujarnya.

Beliau juga melihat potensi Sabah sebagai negeri yang mampu menyumbang kepada usaha menjadikan Malaysia lebih berdaya saing kerana sumber-sumber asli dan semulajadi yang terdapat di negeri ini.

Selaku pengeluar minyak terbesar iaitu 37 peratus daripada simpanan minyak Malaysia yang datang dari Sabah, negeri ini mempunyai potensi besar untuk mendapatkan hasil yang banyak dan memberi peluang pekerjaan kepada anak tempatan.

“New Deal ini kita mahu realisasikan tapi ia pasti mengambil masa yang lama untuk mendapatkan semua kepakaran dan kewangan. Atas sebab itu, pembangunan modal insan perlu dibangunkan seiiring dengan pembangunan perindustrian.

“Itu sebabnya kita mendedahkan anak muda dengan TVET dan latihan kemahiran agar kita mempunyai kepakaran dalam industri yang diperlukan,” jelasnya.