Pembangunan Di Sabah Tidak Berasaskan Kaum Atau Agama – Shafie

1121

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri Sabah akan menumpukan pembangunan kepada rakyat dan manfaatnya tanpa mengambil kira kaum atau agama.

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Mohd Shafie Apdal berkata rakyat Sabah adalah contoh terbaik untuk toleransi agama yang menyaksikan lebih 32 kumpulan etnik dan sub-etnik terdapat di negeri ini.

Beliau berkata rakyat Sabah sama ada Muslim, Kristian atau Buddha tidak mempunyai masalah antara satu sama lain kerana mereka percaya dan menghormati hak setiap orang terhadap kepercayaan agama masing-masing.

“Hubungan antara etnik ini melalui kahwin campur menyatukan kita. Ia meningkatkan kefahaman, saling menghormati antara satu sama lain dan yang penting integrasi di kalangan keluarga.

“Kebanyakan di antara kita di sini hari ini, mempunyai keluarga campur terdiri daripada pelbagai kaum agama dan etnik serta agama yang menjadikan rakyat negeri negeri Sabah benar-benar unik,” katanya semasa melancarkan Sambutan Krismas Kota Kinabalu di Padang Merdeka di sini malam Selasa.

Sambutan Krismas itu bertemakan “God Blessing of Life” akan berlangsung selama empat hari bermula hari ini.

Ketua Menteri juga berkata kerajaan yang diterajui Parti Warisan Sabah tetap komited untuk memastikan cara hidup toleransi dan saling hormat-menghormati yang diamalkan oleh rakyat Sabah kekal, dan diperkukuhkan lagi untuk menjadi tonggak masyarakat dan negara.