Pembangunan Bersifat Terancang, Sistematik Menjadi Amalan Kerajaan

100
Jaujan (dua, kiri) menyampaikan bantuan kepada penerima pada Majlis Iftar Ramadan bersama Pengerusi Masjid dan Ketua Cawangan Warisan DUN Sulabayan.

Oleh EDDIE ANGAT
SEMPORNA: Kerajaan negeri pimpinan Parti Warisan Sabah (Warisan) kini melaksanakan pembangunan yang bersifat terancang dan sistematik.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Jaujan Sambakong berkata, kerajaan negeri merancang dengan memberikan fokus jangka masa panjang bagi menjamin kerancakan pembangunan ekonomi seterusnya meningkatkan lagi hasil negeri.

“Melalui perancangan ini, kita boleh menghapuskan tanggapan luar yang mengatakan Sabah kaya dengan sumber tetapi masih ramai rakyatnya hidup susah.

“Cuma yang penting sekarang ialah pemikiran kita juga kena berubah..sekalipun ada perancangan tapi rakyat masih berfikiran ditakuk lama, mengharap kerajaan bagi bantuan, maka kita tidak dapat melahirkan produktiviti negara dari sudut meningkatkan ekonomi.”

Beliau berkata demikian dalam ucapannya pada Majlis Iftar Ramadan bersama Pengerusi Masjid dan Ketua Cawangan Warisan Dewan Undangan Negeri (Dun) Sulabayan, di sini pada Sabtu.

Menurutnya, sistem pentadbiran negeri juga masih dalam kajian dan penstrukturan semula sejak Warisan mengambil alih pucuk kepimpinan kerajaan terdahulu.

Beliau yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan menjelaskan langkah yang dilaksanakan itu akan melibatkan kajian semula peranan semua agensi yang kurang menghasilkan pulangan kepada ekonomi negeri.

” Langkah awal ini kita laksanakan dengan  mengenal pasti potensi bagaimana untuk meningkatkan keupayaan sektor atau syarikat- syarikat di bawah kerajaan negeri Sabah ini.

” Kerana kita tidak boleh hanya bergantung semata-mata kepada hasil yang diberikan oleh Kerajaan Pusat dan juga hasil kutipan di peringkat negeri ini,” katanya.

Jaujan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sulabayan berkata, usaha meningkatkan kebolehpasaran syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLC)  turut dijadikan fokus utama, ini kerana kemampuan agensi berkenaan yang boleh daya saing dalam meningkatkan potensi keuntungan melalui perniagaan.

Tambahnya, pembangunan komprehensif dan seimbang antara luar bandar serta bandar turut diberi penekanan agar kedua- dua kawasan ini menerima nikmat pembangunan sama rata.

“Bukan setakat pembinaan rumah, sekolah dan kemudahan asas lain, malah kerajaan kini dalam usaha menarik pelabur untuk membina pelbagai kilang industri di negeri ini.

“Bila sudah ada kilang yang banyak, maka tanah-tanah yang ada dapat kita bangunkan dengan membina perumahan mampu milik..Jadi akhirnya masalah penghijrahan dan setinggan dapat dikurangkan,” tambah Jaujan.

Dalam majlis yang sama , seramai lebih 300 orang yang hadir pada majlis berbuka puasa itu menerima bantuan duit raya dan barangan berbentuk keperluan harian.