Pembangkang Sabah Perlu Sokong Pencalonan Shafie

Oleh SURAIDAH ROSLAN
PAPAR: Demi perjuangan menuntut hak sama rata, pemimpin pembangkang di Sabah perlu bersama-sama menyokong pencalonan Perdana Menteri dari negeri ini seperti yang dicadangkan Tun Dr Mahathir Mohamad.

Ketua Wira Warisan Papar, Mohd. Fakhurazzi Aliuddin berkata, pemimpin pembangkang Sabah termasuk UMNO, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Parti Bersatu Sabah (PBS), Parti Rakyat Bersatu Sabah (PBRS) dan Parti Solidariti Tanah Airku (Star) perlu mengetepikan fahaman dan ideologi politik dengan menyokong pencalonan Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal.

“Ini bukan soal Datuk Seri Panglima Mohd Shafie dicalonkan tapi ini adalah ruang kepada jalan penyelesaian pelbagai isu di Sabah, terutama hak-hak yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), maka siapa sahaja pemimpin Sabah, perlu kita sokong tanpa mengira parti mana sekalipun.

“Apa yang penting pemimpin tersebut ikhlas mengembalikan hak-hak rakyat Sabah untuk kesejahteraan seluruh rakyat Sabah,” katanya dalam sidang media berkaitan pendirian Wira Parti Warisan Sabah (Warisan) Papar mengenai pencalonan Mohd. Shafie, di sini semalam.

Menurutnya, cadangan itu juga dilihat sebagai langkah penyelesaian pergolakan politik Malaysia bagi mengembalikan mandat rakyat.

Mohd. Fakhrurazzi berkata, seluruh rakyat Malaysia harus melihat kembali kepada penubuhan Malaysia pada 1963 apabila ketiga-tiga pihak, Semenanjung, Sabah dan Sarawak mengakui hak sama rata dan janji mengenai kedudukan dan pembangunan sama rata.

Katanya, pemilihan pemimpin dari Malaysia Timur sebagai calon Perdana Menteri akan menyaksikan pembinaan Malaysia baharu kerana sudah 57 tahun Malaysia dibentuk tetapi kemakmuran dan pembahagian kekayaan dan pembangunan masih tidak setara berbanding Semenanjung Malaysia.

“Ini kita berada di simpang jalan maka, marilah kita bersatu hati dan menggunakan peluang ini untuk reformasi dan mengembalikan autonomi kepada Sabah dan Sarawak.

“Kami menyeru semua rakyat Malaysia agar sama-sama sertai perjuangan ini untuk menyokong Perdana Menteri dari Malaysia Timur demi kemakmuran rakyat Malaysia.

“Sekali lagi, kami Wira Warisan Papar sebulat suara menyatakan pendirian kami berdiri teguh di bawah kepimpinan Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal dan menyokong penuh pencalonan beliau sebagai Perdana Menteri bagi blok pembangkang,” ujarnya.

Mengulas lanjut, Mohd Fakhurazzi berkata, Wira Papar penuh yakin  Mohd Shafie adalah calon terbaik untuk menyelesaikan masalah perkauman dan agama yang telah lama wujud di negara ini.

Beliau juga menyeru semua belia di Malaysia terutama di Sabah agar menjadi penentu dan menyokong pencalonan Perdana Menteri Malaysia Timur ini demi membina Malaysia baharu yang sederhana dan harmoni.