Pembangkang Diambang Kejatuhan Di Sabah – Rahman Dahlan

Lajim, Junz, Joan Goh dan seorang lagi pemimpin DAP Sabah pada majlis tersebut.
Lajim, Junz, Joan Goh dan seorang lagi pemimpin DAP Sabah pada majlis tersebut.

KOTA KINABALU – Pakatan Pembangkang berada diambang kejatuhannya di Sabah berikutan tindakan beberapa wakil rakyat dan kepimpinan PKR dan DAP mengistiharkan keluar parti hari Ahad, kata Barisan Nasional (BN) Sabah.

Setiausahanya, Datuk Abdul Rahman Dahlan berkata tindakan keluar beramai-ramai itu seolah-olah Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) dari pembangkang mengatakan “PKR dan DAP adalah parti tidak berguna.”

“Tetapi bukankah sebelum ini mereka menyanjung PKR dan DAP sebagai penyelamat rakyat Sabah?,” katanya dalam kenyataan yang dipos melalui twitternya @mpkotabelud di sini.

Abdul Rahman Dahlan
Abdul Rahman Dahlan

Abdul Rahman, yang juga Anggota Parlimen Kota Belud, berkata demikian sebagai mengulas pengumuman Pengerusi PKR Sabah, Datuk Seri Lajim Ukin (ADUN Klias), ADUN Moyog, Terence Siambun (PKR) dan ADUN Likas, Junz Wong (DAP) keluar dari parti masing-masing.

Turut meninggalkan parti masing-masing ialah Setiausaha Agung PKR Sabah, Datuk Maijol Mahap, Ketua Wanita PKR Sabah, Johair Matlani, Timbalan Pengerusi DAP Sabah, Joan Hoh serta Naib Pengerusi DAP Sabah, George Hiew.

Hampir 70 peratus daripada 34 anggota kepimpinan Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Sabah meletakkan jawatan dan mengumumkan keluar parti.

Lajim, yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Klias, itu mengumumkan keputusan berkenaan di hadapan kira-kira 500 penyokong di sini.

Ketika berucap pada perhimpunan pengisytiharan hala tuju perjuangan melalui parti tempatan, Lajim berkata keputusan itu dibuat selepas mengambil kira harapan rakyat Sabah yang mahukan parti tempatan membela nasib dan menjaga kepentingan mereka.

Bercakap kepada pemberita selepas itu, Lajim berkata beliau akan menubuhkan parti baharu tempatan dan kini sedang dalam proses pendaftaran serta menunggu kelulusan daripada Pendaftar Pertubuhan (RoS).

“Kami mengharapkan dalam tempoh terdekat ini RoS akan memberikan kelulusan. Saya akan umumkan nama parti selepas mendapat kelulusan,” katanya, dan menambah parti baharu tempatan itu adalah parti berbilang kaum.

Lajim juga berkata parti baharunya itu akan bekerjasama dengan parti pembangkang tempatan di Sabah termasuk parti baharu yang ditubuhkan bekas naib presiden UMNO, Datuk Seri Shafie Apdal.