Pembangkang Cuba Perlekehkan Usaha Kerajaan Negeri

Oleh SURAYA SHANAZ
KOTA KINABALU: Kritikan dalam media sosial oleh pemimpin UMNO Sabah, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan berhubung projek pembangunan RM7 bilion, dilihat sebagai satu tindakan untuk memperlekehkan usaha kerajaan memperkasakan ekonomi negeri ini.

Bekas Pegawai Eksekutif (Pelaburan), Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Christopher Masudal berkata, usaha-sama antara Yayasan Sabah dan Tegas Bangsa Sdn Bhd untuk memajukan 158 hektar tanah di Kampung Meruntum, Lok Kawi, amat diperlukan di Sabah bagi membolehkan pembangunan berkala besar dilaksanakan.

“Malaysia khususnya Sabah sebenarnya telah mengalami penguncupan ekonomi pada 2018 dan 2019 dan keadaan bertambah parah berikutan dengan penularan wabak COVID-19 yang turut menjejaskan kedudukan fiskal kerajaan negeri. Keadaan ini seterusnya akan melambatkan proses rejuvinasi ekonomi negeri ini.

“Justeru, sudah pastinya kita perlu merancakkan kembali keadaan ekonomi negeri ini tanpa menjejaskan kedudukan fiskal kerajaan dan salah satu kaedah yang boleh kita laksanakan ialah dengan membawa lebih ramai pelabur untuk melabur ke negeri ini,” katanya di sini hari ini.

Usahasama yang dibuat oleh Yayasan Sabah ini katanya, tepat pada masanya kerana ketika negeri ini sedang bergelut dengan kemelesetan ekonomi, projek pembangunan berskala mega itu sudah pastinya akan menyediakan peluang pekerjaan kepada rakyat Sabah dalam pelbagai bidang.

“Projek (usaha-sama) ini sama seperti ‘suntikan stimulus’ yang lazimnya akan dibuat kerajaan ketika mereka berdepan masalah kegawatan ekonomi di negara masing-masing. Cuma bezanya ialah dana untuk suntikan itu datangnya dari pelabur luar manakala kerajaan negeri akan menyediakan tapak atau tanah untuk pelaburan itu,” katanya.

Christopher juga menolak hujah Abdul Rahman mengenai risiko yang tinggi berhubung usahasama itu berikutan dengan wabak Covid-19 yang sedang melanda dunia sekarang ini.

“Harus diingat, Yayasan Sabah baharu sahaja menandatangani perjanjian dan ‘mixed commercial project’ di Lok Kawi itu tidak akan muncul esok harinya.

“Seperti mana puluhan perjanjian usaha sama yang saya pantau ketika masih bertugas di MIDA KL, perjanjian itu juga perlu mendapat kelulusan dari Jabatan Alam Sekitar seterusnya dibentangkan di Jawatankuasa Pelaburan Kebangsaan (NCI) seperti untuk insentif cukai,” katanya.

Justeru katanya, Abdul Rahman sepatutnya tahu bahawa projek ini hanya akan direalisasikan dalam masa satu hingga dua tahun dengan fasa pertama mungkin akan siap dalam masa lima tahun.

“Ini bermakna ketika negeri sedang dilanda COVID-19 yang menyebabkan penurunan jumlah pelancong ke Sabah, kita sediakan dahulu apa yang patut dan apabila wabak itu sudah dikawal dalam masa lima tahun ini, industri perlancongan akan kembali rancak.  Projek usaha-sama di Lok Kawi ini semestinya akan menjadi tarikan utama nanti,” katanya.

Merujuk kepada timbal-balik terhadap pelaburan yang dinyatakan oleh Abdul Rahman itu, Christopher berkata,  tidak ada kemestian untuk pelabur berbuat demikian.

“Timbal balik itu bukanlah satu kemestian dalam mana-mana perjanjian usaha sama kerana ia tidak terkandung dalam mana-mana polisi atau dasar kerajaan Persekutuan yang harus diikuti oleh kerajaan negeri,” katanya.

Berdasarkan laporan media, Christopher berkata, tanah seluas 158 hektar itu dimiliki oleh Yayasan Sabah dan bukannya penduduk kampung atau mana-mana syarikat, justeru tidak ada kemestian untuk Yayasan Sabah memastikan bahawa timbal balik itu perlu.

“Secara peribadi, saya lihat Yayasan Sabah mempunyai hak mutlak untuk memajukan mana-mana tanah yang dimiliki olehnya melalui usaha-sama dengan pelabur luar,” katanya sambil menambah kritikan yang dibuat oleh Abdul Rahman ini tidak lebih daripada politik kampung bertujuan mengelirukan rakyat Sabah, katanya.