Pembalakan haram di hutan simpan harus dihentikan di Sabah – Shafie

2400

PAPAR: Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal mahu Jabatan Perhutanan Sabah meningkatkan usaha penguatkuasaan menghentikan kegiatan pembalakan haram di kawasan hutan simpan di negeri ini.

Beliau berkata tindakan itu penting bagi memastikan kawasan hutan simpan dipulihara sepenuhnya daripada sebarang kegiatan yang boleh menjejaskan kawasan hutan tersebut.

“Hutan simpan yang ada mesti dijaga dengan baik dan saya tidak mahu melihat berlaku pembalakan haram di kawasan itu. Kerajaan negeri Sabah memberikan komitmen tinggi dalam memastikan hutan simpan yang ada harus dilindungi sepenuhnya.

“Ini termasuklah dalam membuat keputusan menghentikan eksport kayu balak ke luar negara,” katanya ketika melancarkan sambutan Hari Hutan Antarabangsa peringkat kebangsaan di Pusat Sejadi Hutan Lipur Kawang dekat sini, hari ini.

Mohd Shafie berkata sebab itu ketika mula dilantik menjadi Ketua Menteri, beliau mengarahkan Yayasan Sabah menghentikan kegiatan pembalakan di kawasan hutan di bawah mereka.

Katanya pembalakan bukan lagi sumber utama kewangan kerajaan negeri seperti yang berlaku pada pemerintahan kerajaan negeri sebelum ini.

Sebaliknya, beliau berkata kerajaan negeri sekarang mempelbagai sumber kewangan negeri dari pelbagai sektor yang ada.