Pembalakan Di Sapulut Ikut Permit Diluluskan Kerajaan Dahulu

Oleh RODELIO JUNJUN TAUCAN
KOTA KINABALU: Muatan balak yang dikeluarkan adalah sah mengikut lesen Unit Pengurusan Hutan (FMU) yang diluluskan kerajaan terdahulu.

Itu penegasan daripada Ketua Konservator Hutan Sabah, Datuk Mashor Mohd Jaini bagi menjawab tuduhan kononnya kerajaan negeri terlibat dalam pembalakan haram di Sapulut dan Kalabakan seperti yang ditularkan.

MASHOR

Mashor menegaskan, sejak memerintah, Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal langsung tidak pernah memberikan lesen balak baharu kepada mana-mana syarikat.

“Saya mengambil kesempatan untuk memberi penjelasan atau pencerahan mengenai tuduhan negatif yang mengatakan bahawa kayu-kayu tersebut dikeluarkan pada aktiviti-aktiviti pembalakan haram, kayu-kayu tersebut adalah keluaran daripada lesen FMU yang dikeluarkan oleh kerajaan terdahulu.

“Ia tiada kaitan, saya mahu sahkan tiada lesen baharu dikeluarkan oleh kerajaan sekarang di bawah Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal, saya boleh jamin semua balak itu sah daripada beberapa FMU di Sapulut dan Hutan Simpan Kalabakan iaitu Zillion Fortune, First Greenworld, Jawala Enterprise, dan dua kontraktor Yayasan Sabah iaitu Usahawan Borneo dan Timjadi Sdn. Bhd,” katanya ketika ditemui Borneo Today hari ini.

Isnin lalu, tular di media sosial tentang sebuah lori balak yang terbalik di Jalan Kalabakan – Sapulut serta sebuah video yang menunjukkan berpuluh-puluh lori balak sedang mengangkut hasil bumi itu.

Insiden tersebut menimbulkan pelbagai reaksi, lebih-lebih lagi selepas sesetengah pihak sengaja menyebar tuduhan kononnya kerajaan negeri terlibat dengan aktiviti pembalakan itu.

Bagaimanapun, hasil pemeriksaan pihak berkuasa mendapati lima syarikat FMU itu adalah First Greenworld Sdn. Bhd. dengan pajakan tanah 50 tahun sejak 220, Zillion Fortune Sdn. Bhd. yang mendapat pajakan 100 tahun daripada kerajaan lama bermula 2014 hingga 2114.

Turut terlibat dan mendapat kontrak pajakan 100 tahun ialah Jawala Plantation Industries Sdn. Bhd. bermula 2015 hingga 2115 dan Kontraktor Usahawan Borneo Sdn. Bhd. serta Kontraktor Timjadi Sdn. Bhd. yang memegang lesen Yayasan Sabah.

Menurut Mashor, satu mesyuarat melibatkan pelbagai agensi termasuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan diadakan di Lok Kawi pada 19 Ogos ini untuk membincangkan langkah-langkah penguatkuasaan di sepanjang jalan itu terutama lori lebih muatan.

“Kita akan panggil satu mesyuarat pelbagai agensi termasuklah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), polis, Jabatan Kerja Raya (JKR), lain-lain yang berkaitanlah mungkin kita perlu tahu untuk ada koordinasi.

“Masalah kami di Jabatan Perhutanan ialah kami tidak ada mesin timbang hanya berdasarkan kepada ukuran tan metrik sebab lain spesis kayu lain beratnya,” jelas beliau.

BERITA BERKAITAN: –

Balak! Lagi Tuduhan Tidak Berasas Dilemparkan