Pematuhan PKPB Penduduk Pulau Gaya 90 Peratus – George

GEORGE

Oleh SURAIDAH ROSLAN
KOTA KINABALU: Pematuhan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bagi penduduk Pulau Gaya dilihat agak baik, iaitu mencapai 90 peratus.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Superitendan George Abd Rakman berkata, biarpun terdapat sekitar 12,000 penduduk di Pulau Gaya namun, pematuhan prosedur operasi standard (SOP) penduduk di sini agak baik.

Beliau berkata, keadaan di pulau ini terkawal dan penduduk dilihat mematuhi SOP dikeluarkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“Walau ada juga pelanggaran (SOP) sedikit namun, bilangannya amat sedikit dan ia bukan disengajakan. Ada antara mereka terpaksa berulang-alik ke bandar untuk membeli barangan keperluan,” katanya ketika mengulas mengenai kadar pematuhan PKPB di Pulau Gaya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita dalam Program ‘trash for food’ sempena Misi Jelajah Kasih Pulau Gaya, di sini hari ini.

Buat masa ini, penduduk dibenarkan untuk mendapatkan barangan keperluan di tanah besar namun, kapasiti penggunaan bot adalah separuh daripada kapasiti asal.

Bagaimanapun masa untuk mereka keluar ke bandar tetap dikawal.

“Kita sentiasa berkompromi apabila ada penduduk berdepan masalah mendapatkan barangan keperluan harian. Kita faham keluhan mereka dan ada kalanya kita bantu apa yang mereka perlukan.

“Biarpun ada kesalahan mereka keluar pada tempoh tertentu tetapi, ia disebabkan desakan kehidupan,” jelasnya.

Tambahnya, secara keseluruhan pematuhan penduduk di Pulau Gaya masih baik.