Pemansuhan Akta Hasutan Tidak Boleh Dilakukan Terburu-Buru 

KUALA LUMPUR: Pemansuhan Akta Hasutan tidak boleh dilakukan secara terburu-buru, menurut Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Mohd Azis Jamman, persidangan Dewan Rakyat diberitahu hari ini.

Beliau berkata sebaliknya Kementerian Dalam Negeri (KDN) perlu mengambil kira implikasi pindaan berbangkit kepada perundangan lain sekiranya pemansuhan akta ini berlaku.

Mohd Azis menjelaskan terdapat peruntukan di bawah akta itu yang bersangkutan dengan peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan serta perundangan dan akta lain.

“Komitmen kerajaan Pakatan Harapan (PH) ialah kita akan memansuhkan akta ini, bagaimanapun kita kena pastikan tiada kelompangan undang-undang berlaku sekiranya akta ini dimansuhkan.

“Kita tidak mahu apabila akta ini dimansuhkan kita tercari-cari (solusi lain) dan ini akan menimbulkan masalah,” katanya sebagai menjawab soalan tambahan Fahmi Fadzil (PH-Lembah Pantai) yang bertanya tentang tempoh masa bagi pemansuhan akta berkenaan ketika sesi jawab lisan.

“Jawatankuasa khas sedang giat bersidang termasuk dalam soal memastikan Akta Hasutan ini selaras dengan janji manifesto kita untuk mansuhkan, tetapi saya tidak dapat beri tempoh masa yang khusus tentang bila akta ini akan dimansuhkan,” katanya.