Pemandu Maut, Tiga Parah Dalam Kemalangan Di Beluran

BELURAN: Seorang pemandu sebuah kenderaan pacuan empat roda maut, manakala tiga penumpang cedera parah apabila kenderaan dinaiki mereka terbabas sendiri di jalan Beluran-Telupid kira-kira 7 pagi tadi.

Menurut Ketua Polis Daerah Beluran Supt Kasim Muda, polis mengesyaki pemandu berumur 50 tahun itu mabuk ketika memandu dan sampel darah mangsa diambil untuk tujuan ujian toksikologi.

“Siasatan awal di tempat kejadian mendapati kenderaan tersebut dari arah Telupid menuju Sandakan telah hilang kawalan sebelum masuk ke laluan bertentangan dan terbabas di sebelah kanan jalan.

“Akibat kemalangan tersebut, pemandu kenderaan maut di tempat kejadian manakala tiga penumpangnya cedera parah. Kemalangan tidak melibatkan lain-lain kenderaan,” katanya dalam kenyataan di sini.

Kasim berkata pemandu dikenali sebagai Jayacelan a/l R Manickam beralamat di Jalan Sulaiman, Batu 8, Sandakan.

Tiga penumpang cedera parah itu tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri dan dihantar ke Hospital Beluran untuk rawatan, katanya.

IPD BELURAN NAFI ROMPAKAN BERSENJATA

Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Beluran juga menafikan kejadian rompakan bersenjata di daerah ini, seperti dikatakan oleh seorang pemilik akaun Facebook dalam satu hantaran baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Supt Kasim Muda berkata hantaran yang dimuat naik ke Facebook mula tular sejak 28 Jun lepas, mengatakan suami pemilik akaun Facebook itu dirompak oleh satu kumpulan yang menaiki dua kenderaan.

Kumpulan terbabit dikatakan mengacukan sepucuk pistol di kepala suami pemilik akaun Facebook itu dan dua bilah pisau di perut ,ketika melalui simpang dekat sebuah hutan simpan dekat sini.

“Polis menafikan kenyataan pemilik akaun Facbook “Arwana Putih” itu…semakan ke atas laporan polis di daerah-daerah berhampiran, mendapati tiada sebarang laporan polis diterima berkaitan kejadian itu,” katanya dalam kenyataan di sini Ahad

Kasim menegaskan agar orang ramai melaporkan atau mendapatkan maklumat sahih mengenai sebarang kejadian di Beluran daripada IPD atau balai polis berdekatan daripada mempercayai maklumat yang tidak disahkan di media sosial.

Beliau berkata orang ramai juga boleh menghubungi ‘hotline’ IPD Beluran di talian 089-511222.