Pemandu Maut Kenderaan Terbabas Sendiri Di Jalan Merotai, Tawau

TAWAU: Seorang lelaki maut apabila kenderaan dinaiki hilang kawalan lalu terbabas ke bahu jalan di Kilometer 26, Jalan Merotai-Bombalai pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 5.30 pagi itu, mangsa yang berusia 26 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, pemeriksaan awal mendapati, sebuah kenderaan terbabas sendiri dan pemandu meninggal dunia di lokasi kejadian.

Siasatan di tempat kejadian mendapati kemalangan berlaku semasa mangsa dalam perjalanan dari arah bandar Tawau menuju ke Merotai.

Apabila tiba di lokasi kejadian, kenderaan dipandu mangsa disyaki hilang kawalan lalu terbabas ke kiri jalan.

“Pihak bomba telah membantu mengeluarkan mangsa yang tersepit. Mangsa yang mengalami kecederaan luaran di bahagian kaki dan tangan kiri. Kenderaan mangsa mengalami kerosakan teruk di bahagian hadapan.

“Bedah siasat akan dijalankan setelah mendapat keputusan ujian Covid-19,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Jelasnya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.