Pemandu Maut Dalam Pertembungan Tiga Lori Di Tawau

TAWAU: Seorang pemandu lori maut apabila kenderaan dinaiki merempuh dua lori lain dalam kemalangan yang berlaku di Jalan Sungai Burong, kelmarin.

Kemalangan yang berlaku kira-kira jam 8.15 malam itu mengakibatkan pemandu lori Daihatsu berusia 63 tahun yang dipercayai khayal itu maut selepas merempuh lori yang berada di laluan bertentangan.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Peter Ak Umbuas berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berpunca daripada kecuaian pemandu lori Daihatsu yang dipercayai hilang kawalan.

Katanya, pemeriksaan di dalam lori yang dipandu mangsa turut menemukan minuman tuak.

Beliau berkata, kenderaan yang dipandu mangsa sedang dalam perjalanan menuju ke Semporna sebelum tiba-tiba masuk ke laluan bertentangan hingga melanggar cermin sisi kanan serta lampu belakang sebuah lori tankerada jenis rigid.

Selepas itu, lori dinaiki mangsa masuk semula ke laluannya dan kemudian menuju ke laluan bertentangan sehingga merempuh lori yang dalam perjalanan menuju ke Tawau.

Peter berkata, akibat pertembungan tersebut, mangsa tersepit dan berjaya dikeluarkan oleh pihak bomba dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

“Dua pemandu lori yang lain tidak mengalami sebarang kecederaan namun, kedua-dua lori mengalami kerosakan pada bahagian cermin sisi kanan dan lampu belakang serta rosak pada bahagian hadapan.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.