Pemandu Lori Maut Dihempap Kayu Balak

KENINGAU: Seorang pemandu lori maut apabila kenderaan yang dipandu hilang kawalan ketika menuruni bukit di Jalan Tambunan-Keningau berhampiran Kampung Tikolod, di sini semalam.

Dalam kejadian pada 7 malam itu, pemandu berusia 22 tahun itu bukan hanya tercampak keluar daripada kenderaan malah, dihempap muatan kayu balak yang dibawanya.

Ketua Polis Daerah Keningau, Deputi Superintendan Shahrudin Mat Husain berkata, mangsa yang merupakan pemandu lori 10 tan itu dalam perjalanan dari Tambunan menuju ke Keningau.

“Bagaimanapun, ketika melalui selekoh menuruni bukit, mangsa dipercayai gagal mengawal kenderaan hingga menyebabkan lori yang sarat dengan muatan kayu balak itu terbalik ke sebelah kiri jalan,” katanya ketika dihubungi.

Keadaan itu mengakibatkan mangsa tercampak keluar dari tempat pemandu sebelum muatan kayu balak yang dibawa menghempapnya.

Shahrudin berkata, mangsa yang masih sedarkan diri dikejarkan ke Hospital Tambunan untuk rawatan selanjutnya.

Akan tetapi, pada 8.45 malam, mangsa dilaporkan meninggal dunia semasa menerima rawatan di hospital.

Tambahnya, siasatan masih diteruskan dibawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.