Pemalsuan Dokumen, Pegawai JPN Antara Tiga Ditahan Di Semporna

KOTA KINABALU: Seorang pegawai pendaftar Jabatan Pendaftaran Negara antara tiga lelaki yang ditahan membabitkan sindiket pemalsuan dokumen pengenalan diri di Semporna.

ZAINI JASS

Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Zaini Jass berkata ketiga-tiga lelaki itu yang berusia 30 hingga 43 tahun ditahan pada Selasa lepas (23 Julai) di sekitar daerah Semporna.

Katanya turut dirampas daripada mereka antaranya borang daftar kelahiran, bahagian kad pengenalan, 34 cop palsu jabatan kerajaan, klinik kesihatan, hospital, ketua kampung dan pesuruhjaya sumpah.

“Sehingga kini, seorang saksi telah tampil menggunakan proses daftar kelahiran dilakukan oleh sindiket tersebut,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Menurutnya sindiket itu disyaki menjalankan kegiatan mereka sejak awal tahun lepas dengan menawarkan perkhidmatan daftar sijil lahir dengan bayaran RM3,500 dan daftar kad pengenalan RM6,000.