Pemain Hoki Iren Dahagakan Kejayaan

KUALA LUMPUR: Menjaringkan gol sudah menjadi satu kebiasaan kepada Iren Hussin.

Gadis kelahiran Kota Belud itu pertama kali mendapat perhatian apabila dia berjaya menyumbat 10 pukulan sudut penalti sehingga menjadi penjaring terbaik dalam kejohanan hoki bawah 16 tahun bertaraf kebangsaan pada tahun 2016.

Kejayaan itu telah melayakkan Iren untuk menyertai pasukan kebangsaan ke Piala Asia bawah 18 tahun.

Dalam Kejohanan Hoki Tertutup Sukan SEA Filipina Disember lalu, Iren menjaringkan enam gol iaitu ketika membantu Malaysia menggondol pingat emas, hanya seorang lagi pemain, Nur Aisyah Yaacob menjaringkan lebih banyak gol iaitu lapan.

Atas kejayaan itu, gadis Sabahan yang mula berjinak-jinak dengan sukan hoki sejak umur 12 tahun pada tahun 2013 itu, tetap ingin meneruskan minatnya dalam sukan hoki.

Beliau yang kini berusia 19 tahun baru-baru dipanggil untuk menyertai latihan pasukan junior kebangsaan untuk Piala Asia Junior yang sebelum ini dijadualkan di Kakamigahara, Jepun, pada April tahun ini.

Kejohanan itu bagaimanapun ditunda tetapi Iren tetap dahagakan kejayaan.

“Menjaringkan enam gol pada sukan SEA lalu telah memotivasi saya untuk terus memberikan prestasi terbaik untuk Malaysia dalam mana-mana kejohanan.

“Saya juga ingin menjadi pemain yang aktif dalam pasukan junior kebangsaan termasuklah dalam pasukan kebangsaan. Saya akan terus berlatih gigih untuk menjadi pemain pertahanan yang kuat dan memantapkan pukulan sudut penalti.

“Saya ingin mewakili Malaysia dalam kejohanan yang lebih besar seperti Piala Asia, Trofi Juara-juara Asia, Komanwel dan Sukan Asia,” katanya.

Iren yang sedang mengikuti pengajian pra-universiti di Sekolah Sukan Malaysia Sabah (SSMS) di Kota Kinabalu juga bermain untuk Sabah dalam Liga Hoki Remaja Malaysia bawah 19 tahun sejak 2015 hingga tahun lalu.

Selain itu, dia juga pernah bermain untuk Liga Wanita Kebangsaan selama empat tahun termasuk mewakili Terengganu selama dua tahun sejak tahun 2017.