Pelumba Negara Dapat Tonik Terbaik Menjelang Sukan SEA Filipina 2019

77

LABUAN: Pelumba negara, Nik Mohd Azwan Zulkifle mendapat tonik tambahan menjelang Sukan SEA Filipina 2019 apabila menjuarai acara terbuka 120 kilometer (km) pada perlumbaan berbasikal Cabaran Labuan 2019, di sini hari ini.

Saingan 70 pelumba pada kategori itu menyaksikan pelumba Polis Diraja Malaysia (PDRM) itu berjaya menjarakkan diri dari peloton pada peringkat akhir sebelum melakukan serangan dengan kayuhan bertenaga ke garisan penamat untuk catatan masa 2 jam 52 minit dan 41 saat.

Tempat kedua pula turut dimenangi oleh seorang lagi pelumba Sukan SEA Filipina, Sofian Nabil Omar Bakri yang ketinggalan satu minit 22 saat manakala pelumba Terengganu, Muhammad Shahmir Aiman menduduki tangga ketiga dengan catatan masa 2:53:23s.

Dalam kategori veteran terbuka lelaki (120km), pelumba dari Kuala Lumpur, Isma Rizuan Mohamad Esa muncul juara dengan catatan masa 2:53:28s diikuti oleh jurulatih Terengganu, Syed Mohd Hussaini Syed Mazlan (2:54:21s) dan tempat ketiga oleh Azizulazli Shaari dengan masa 3:00:54s.

Dalam acara veteran terbuka wanita (120km), bekas pelumba negara dari Sabah, Vierawatie Haris muncul juara dengan catatan masa 3:24:14s diikuti rakan sepasukan, Natahsya Soon (3:28:12s) dan tempat ketiga dimenangi oleh Siti Farah Eliza Zainuddin dengan 3:28:13s.

Dalam acara terbuka lelaki Mountain Bike (90km), pelumba Sabah, Joshua Mairon menduduki tempat pertama dengan catatan masa 2:37:45s, diikuti Nicklos Minol (2:38:13s) dan JR Stanly dengan 2:38:13.8s.

Kategori terbuka wanita Mountain Bike pula menyaksikan Ainie Markus mengungguli acara jarak 90km itu dengan catatan masa 2:43:52s, diikuti Anita Markus (2:45:38s) dan Suk Fong Fang dengan catatan masa 2:57:13s.

Seramai 400 pelumba profesional dan amatur dalam negara dan dari Brunei menyertai pelumbaan sulung itu anjuran Kelab Berbasikal Road Cyclists Labuan.