‘Pelukan Terakhir Seorang Rakan’- Mangsa Rempuhan Bot

KOTA KINABALU: Hasrat dua sekawan keluar memancing berakhir dengan tragedi apabila bot yang mereka gunakan dirempuh sebuah bot hingga menyebabkan salah seorang daripada mereka maut.

Tidak ingin membiarkan mayat rakannya hanyut, lelaki berusia 35 tahun itu berusaha memegang erat mayat mangsa sehingga ada nelayan lain menyelamatkan mereka.

Dalam kejadian pada 2.40 pagi semalam, bot kedua-dua mangsa ini dirempuh oleh bot lain berhampiran perairan Pulau Mamutik.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah berkata, rempuhan itu menyebabkan salah seorang mangsa iaitu Abdul Hasyim Onong, 35, maut di tempat kejadian kerana mengalami kecederaan pada bahagian kepala.

“Seorang lagi mangsa yang berumur 35 tahun turut mengalami cedera ringan dan sudah menerima rawatan sebagai pesakit luar di sebuah klinik swasta.

“Siasatan awal mendapati kedua-dua mangsa yang tinggal di Kampung Lok Urai, Pulau Gaya keluar memancing di lokasi kejadian kira-kira 10 malam.

“Semasa dalam perjalanan pulang tiba-tiba sebuah bot datang dari arah belakang lalu merempuh bot mereka sekitar 2.40 pagi,” katanya.

Akibat rempuhan itu, bot dinaiki pecah dan kedua-dua mangsa tercampak ke dalam laut. Mangsa yang terselamat menarik rakannya untuk berpaut pada serpihan bot sementara menunggu nelayan lain lalu di kawasan berkenaan.

Bot yang merempuh mereka dipercayai terus melarikan diri dan meninggalkan lokasi kejadian. Kedua-dua mangsa diselamatkan nelayan lain pada 6 pagi semalam.

Kedua-dua mangsa dihantar pulang ke rumah mereka dan mangsa yang terselamat mendapatkan rawatan sebelum membuat laporan polis.

“Mangsa yang meninggal dunia sudah dihantar ke Hospital Queen Elizabeth (HQE) untuk bedah siasat,” katanya.

Tambah Mohd Zaidi, siasatan lanjut berjaya membawa kepada rampasan sebuah bot pam bersama enjin yang dipercayai terbabit dalam kes rempuhan itu.

Katanya, pihak polis kini sedang memburu suspek dalam kes ini dan kes disiasat di bawah Seksyen 280 Kanun Keseksaan kerana mengendalikan perahu secara berbahaya. Jika sabit kesalahan, pesalah boleh dipenjara sehingga enam bulan atau denda RM2,000 atau kedua-duanya sekali.

-TAMAT-