Peluang Untuk Penjawat Awam Lanjut Pelajaran, RM8.4 Juta Disediakan

Oleh RODELIO JUNJUN TAUCAN
KOTA KINABALU: Kepada penjawat awam yang berhasrat untuk menyambung pelajaran demi meningkatkan kemahiran, tahun 2020 adalah masa yang terbaik selepas kerajaan memperuntukkan sebanyak RM8.45 juta bagi tujuan itu.

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, melalui Belanjawan Sabah 2020 yang dibentangkan hari ini kerajaan turut merancang menawarkan 50 biasiswa kepada pegawai kerajaan untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat sarjana dan kedoktoran manakala bagi sarjana muda, biasiswa ditawarkan mengikut keperluan serta kesesuaian program dipohon.

“Kerajaan negeri yakin penggalakkan budaya pembelajaran secara berterusan dan pendedahan untuk menguasai kemahiran-kemahiran baharu ini mampu melonjakkan keupayaan serta kecekapan penyampaian perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat,” katanya ketika membentangkan Belanjawan Sabah 2020 di Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini.

Mohd. Shafie merangkap Menteri Kewangan berkata, kerajaan juga akan meneruskan usaha meningkatkan keupayaan penjawat awam melalui program-program latihan dalam dan luar negara yang berfokus kepada pengetahuan dan kemahiran kritikal dalam agenda pembangunan negeri.

Katanya, biasiswa yang ditawarkan itu adalah kepada golongan pegawai-pegawai awam khususnya kumpulan pegawai muda yang bakal mengambil alih kepimpinan perkhidmatan dalam tempoh 10 tahun akan datang.

“Dalam hal ini, kerajaan akan bekerjasama dengan universiti atau institusi terkemuka untuk memberi pengetahuan dan pendedahan kepada penjawat awam supaya mampu menangani cabaran serta perubahan dalam era dunia global dan digital,” katanya.

Sementara itu, Mohd. Shafie menegaskan, dasar menarik balik pembekuan pengisian jawatan akan diteruskan bagi memastikan pelantikan baharu dapat dilakukan untuk mengisi kekosongan jawatan kritikal.

Tambah beliau, tumpuan pada tahun depan adalah untuk meningkatkan pengisian jawatan dalam kumpulan profesional dan pengurusan agar keupayaan serta kecekapan perkhidmatan awam meningkat.