‘Peluang Lebih Cerah Bagi Pakatan Warisan-PKR-DAP Lawan BN’ – Sipaun

3841
SIMON SIPAUN

KUALA LUMPUR: Parti Warisan Sabah, PKR dan DAP hanya selangkah sebelum memuktamadkan pakatan pilihan raya mereka untuk berdepan BN menjelang pilihan raya umum ini.

Dengan Warisan sebagai parti ‘setahun jagung’ dan DAP serta PKR hanya mampu meraih sejumlah kecil kerusi di Sabah pada pilihan raya umum lalu, ada yang mungkin tertanya-tanya sama ada pakatan itu mampu memberi cabaran kepada BN.

Bagi bekas Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah, Simon Sipaun gabungan pakatan politik itu satu langkah strategik dan akan memberi manfaat kepada ketiga-tiga parti.

“Kali ini, BN yang didominasi oleh Umno akan menghadapi cabaran terbesar kerana berdepan dengan orang kuat Umno,” kata Simon, merujuk kepada Presiden Warisan, Shafie Apdal.

“Warisan adalah satu-satunya parti dari Sabah yang dipercayai mampu untuk merampas kerajaan negeri.”

Beribu-ribu perwakilan dan pemerhati serta penyokong hadir di mesyuarat agung Parti Warisan Sabah baru-baru ini.

Ini, katanya, disebabkan Warisan mempunyai tarikan kepada semua rakyat Sabah, tanpa mengira bangsa dan agama.

“Tidak seperti Malaya, Sabah mempunyai tidak kurang 40 kumpulan etnik. Tiada parti berasaskan kaum boleh menumbangkan kerajaan negeri.

“Kongres Warisan pada Isnin lalu menarik lebih daripada 5,000 orang,” kata Simon.

Beliau juga berpendapat bahawa kepimpinan Shafie mula mendapat momentum di negeri itu.

“Dia ada keberanian untuk menyoal di kabinet. Dia boleh ikuti jejak pemimpin lain dengan mendiamkan diri, sedangkan sedar ada sesuatu yang tidak kena.

“Dia ditawarkan jawatan timbalan presiden BERSATU, tetapi dia menolaknya,” kata Simon.

JAMES CHIN

Seperti Simon, penganalisis politik, James Chin juga percaya bahawa pakatan Warisan, PKR dan DAP mampu memberi cabaran kepada BN.

Walau bagaimanapun, Chin berkata persoalannya terletak pada sama ada pakatan itu mampu memenangi undi orang Islam.

“Jika ya, maka (Ketua Menteri Sabah) Musa (Aman) dalam masalah. Warisan mungkin akan merampas satu atau dua kerusi tambahan Kadazandusun Murut.

“PKR paling rugi dalam pakatan itu, mereka tersepit di antara DAP, Warisan dan BN,” kata Chin, yang adalah pengarah Institut Asia di Universiti Tasmania.

Bagi Gabungan Sabah, satu lagi pakatan pembangkang, Chin percaya bahawa ada di anatara pemimpin gabungan itu akan menyertai pakatan pilihan raya Warisan dan dua parti sekutu Pakatan Harapan.

“Mereka sedar bahawa pertandingan tiga penjuru menjadikannya mustahil untuk menang.

“(Tetapi) di Sabah, semua perjanjian dibuat pada minit akhir, jadi jangan teruja. Bahkan perjanjian Warisan dan PKR-DAP mungkin bertukar pada hari penamaan calon.” – Alyaa Azhar|malaysiakini.com

BACA LAGI DISINI: –

https://m.malaysiakini.com/news/418374